10 kes baru Covid-19, tiada kematian

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini, dengan 7 daripadanya melibatkan orang tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga mengumumkan tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketika ini, serawai 521 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan 4 daripadanya dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sementara itu, bilangan pesakit yang dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar wad hari ini seramai 140 orang.

Secara keseluruhan sehingga hari ini, seramai 8,515 dijangkiti virus itu, dengan 121 kes kematian.

Bilangan mangsa yang pulih 7,873 orang.

Mengenai kes melibatkan orang tempatan, 5 di Selangor, iaitu 4 daripada kluster membabitkan sebuah rumah penjagaan warga emas di Kuala Selangor, dan 1 daripada saringan pusat tahfiz.

Dua lagi kes di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, 3 kes melibatkan bukan warganegara masing-masing di Wilayah Pesekutuan, Negeri Sembilan, dan Sabah.

Kluster dikenal pasti di Sabah

Noor Hisham turut memaklumkan kluster dikenal pasti berkaitan kes kematian ke-120 di Sabah.

“Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-8403) seorang warga emas yang meninggal dunia di rumah pada 12 Jun akibat komplikasi sakit jantung dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (Kota Kinabalu).

“Saringan Covid-19 dijalankan dan beliau didapati positif.”

Hisham memaklumkan mangsa sebelum ini mendapat rawatan untuk penyakit jantung di Hospital Queen Elizabeth II.

“Aktiviti saringan kontak rapat telah dijalankan dan didapati 2 kakitangan wad positif.”

Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 63 individu dikenalpasti serta disaring.

Langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di semua tempat yang dikenalpasti terdedah termasuk di wad dan rumah mangsa.

Perkhidmatan Hospital Queen Elizabeth 2 tidak terjejas dan berterusan seperti biasa dan punca jangkitan kluster ini adalah masih dalam siasatan.