20 askar India maut dalam pertembungan ganas dengan askar China

Seorang lelaki India membakar gambar Presiden China, Xi Jinping dalam tunjuk perasaan di Ahmedabad semalam. (Gambar AP)

NEW DELHI: Pertikaian sempadan antara kuasa nuklear Asia, India dan China, menyebabkan kematian buat pertama kali selepas hampir separuh kurun apabila sekurang-kurangnya 20 askar India maut dalam “pertembungan ganas”, kata tentera semalam.

Pakar memberi amaran pertembungan di altitud tinggu di banjaran Himalaya itu itu perkembangan yang boleh melarat, menyusuli keterangan yang memuncak dan atur gerak ribuan askar dari kedua-dua pihak.

Pergaduhan sering tercetus di sepanjang 3,500km sempadan itu antara 2 negara paling ramai penduduk di dunia ini – tetapi tiada orang yang terbunuh sejak 1975.

Beijing dan Delhi saling menyalahkan atas kejadian pada Isnin itu yang berlaku di kawasan berbatu di Lembah Galwan, yang terletak antara Tibet, China dan Ladakh, India.

Sumber askar India berkata kejadian itu tidak melibatkan tembak-menembak tetapi “pertarungan tanpa senjata”.

Askar saling menumbuk dan membaling batu, dan askar Cina didakwa menyerang askar India dengan batang besi dan belantan berpaku dalam kejadian selama 6 jam itu, lapor Hindustan Times.

India sebelum ini melaporkan 3 orang maut dalam kejadian itu.

Tentera India dalam kenyataan semalam berkata 17 lagi yang cedera perah terdedah kepada suhu bawah sifar dan akhirnya mati.

Tentera India sebelum ini berkata kedua-dua pihak mengalami kecederaan. Kementerian Pertahanan China mengesahkan ada orang tercedera dalam kejadian itu tetapi tidak mendedahkan kewarganegaraan mangsa atau butiran lain.

Beijing mendakwa askar India “menceroboh sempadan 2 kali…memprovokasi dan menyerang askar China, menyebabkan konfrontasi fizikal yang serius antara pasukan sempadan kedua-dua pihak”.

Jurucakap Kementerian Luar India, Anurag Srivastava membalas dakwaan itu, mengatakan pertembungan itu berlaku kerana “pihak China secara sebelah pihak cuba mengubah status quo” di sempadan.