Anwar mohon maaf PH tangguh umum calon PM

FMT sebelum ini melaporkan PH sedia mengembalikan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, tetapi kali ini dengan Anwar sebagai timbalannya.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim memohon maaf Pakatan Harapan menangguhkan pengumuman calon perdana menteri gabungan itu dan pimpinan lain sekiranya ia kembali menjadi kerajaan.

Anwar berkata sebarang perubahan mesti peduli rakyat, boleh mengubah negara, dan beri keyakinan pada pelabur.

“Perubahan itu mendesak dan harus disegerakan tetapi jangan menyegerakan hingga korbankan prinsip utuh, iaitu perubahan ini mesti dengan maksud membawa kepedulian terhadap permasalahan rakyat, perubahan ini mesti juga bawa perubahan dalam negara, beri keyakinan pada pelabur,” katanya di Facebook hari ini.

FMT melaporkan PH sedia mengembalikan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, tetapi kali ini dengan Anwar sebagai timbalannya, walaupun kedua-dua pemimpin bergelut menunjukkan mereka mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

FMT difahamkan pemimpin PH berjumpa sekurang-kurangnya 2 kali di sebuah hotel mewah di pusat bandar Kuala Lumpur sejak mesyuarat antara pemimpin tertinggi gabungan itu di ibu pejabat PKR pada Selasa minggu lalu.

PH dikatakan bersetuju Mahathir akan berkhidmat “sehingga akhir tahun”, dengan satu perjanjian “hitam putih” ditandatangani untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Anwar hari ini berkata, parti dalam PH seperti PKR, Amanah, dan DAP sememangnya sudah buat keputusan berhubung isu calon perdana menteri.

Namun pihaknya mahu merujuk rakan gabungan itu seperti Warisan dan kumpulan pro-Dr Mahathir Mohamad dalam PPBM.