Australia tutup sempadan hingga tahun depan

Dua kanak-kanak menunggu ibu mereka selepas tiba di Sydney pada 23 Jan lalu. Australia akan melonggarkan peraturan untuk pelawat jangka panjang. (Gambar AP)

SYDNEY: Australia tidak akan membuka semula pintu sempadannya kepada pelancong asing sehingga tahun depan, tetapi akan mengkaji pelonggaran syarat kemasukan bagi pelajar dan pelawat jangka panjang yang lain, kata Menteri Perdagangan, Simon Birmingham hari ini.

Australia berjaya membendung penularan Covid-19 yang menyaksikan pelaksanaan sekatan perjalanan antarabangsa dan penjarakan sosial ketat.

Birmingham berkata, pelajar antarabangsa dan pelawat lain yang bercadang tinggal untuk jangka panjang akan diminta menjalani kuarantin.

“Tempoh kuarantin 14 hari berjaya memastikan rakyat Australia yang kembali ke negara ini selamat,” katanya dalam ucapan di Kelab Wartawan Kebangsaan.

Kepulangan pelajar antarabangsa akan menjadi pendorong bagi universiti yang berdepan kerugian kewangan besar akibat penutupan sempadan kerana pendidikan antarabangsa ialah penyumbang pertukaran asing ke-4 terbesar Australia yang berjumlah A$38 bilion setahun.

Australia merekodkan 102 kematian daripada lebih 7,300 kes positif Covid-19 setakat ini.

Hari ini, jumlah kes baru mencatatkan peningkatan harian terbesar lebih sebulan lalu, dengan kebanyakannya direkodkan di Victoria, negeri ke-2 paling ramai penduduk.

Victoria melaporkan 21 kes baru sejak 24 jam lalu, dengan 15 daripadanya ialah pengunjung baru pulang ke negara itu yang sedang menjalani kuarantin, menjadikan keseluruhannya 22 kes untuk hari ini, dengan beberapa negeri belum melaporkan data mereka.