FGV lapor polis terhadap 2 bekas ketua pegawai

Bekas CEO FGV, Zakaria Arshad, dan bekas CFO FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha.

PETALING JAYA: FGV Holdings Bhd (FGV) membuat laporan polis terhadap bekas presiden kumpulan dan ketua pegawai eksekutif, Zakaria Arshad dan bekas ketua pegawai kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha atas dakwaan pecah amanah.

Ketua Juruaudit Zalily Mohamed Zaman Khan berkata ia berkaitan kemudahan kredit yang diberi kepada pelanggan Delima Oil Products Sdn Bhd tanpa penilaian, cagaran, atau sekuriti yang diperlukan daripada surat kredit.

Ini menyebabkan baki tertunggak melibatkan Chengdu Azonda International Trading Co Ltd (RM8,081,855), Safitex General Trading LLC (AS$11,700,000), Quantum Orient Holdings Sdn Bhd (RM15,150,557), Intisari Mulia International Inc (RM3,368,929), Matrix Integrated Services Sdn Bhd (RM74,888), dan RDC International Pte Ltd (US$344,145).

“Kedua-dua Zakaria dan Ahmad dengan jelas telah gagal dan/atau mengabaikan untuk menegakkan dan/atau melindungi kepentingan FGV dan/atau Delima. Lebih lagi, tidak ada asas komersial untuk tindakan mereka yang dilakukan dalam situasi yang menunjukkan mereka cuai dan amat mencurigakan.

“FGV telah mengalami kerugian melebihi anggaran RM75 juta akibat perbuatan mereka,” kata Zalily dalam laporan yang dilihat FMT.

Beliau berkata kesalahan yang disyaki terhadap Zakaria termasuk pecah amanah melibatkan AS$1 juta untuk dana iklan dan promosi kepada Azonda, dan pemberian sampel percuma bernilai RM421,704 kepada syarikat sama tanpa asas.

Beliau berkata hal berkenaan dana iklan dan promosi itu pernah dilaporkan kepada polis pada Ogos tahun lepas.

Beliau juga berkata Zakaria gagal melindungi kepentingan Delima dalam transaksi dengan pelanggan pasaran luar negara dengan memberi kemudahan kredit tanpa penilaian, cagaran, atau sekuriti yang diperlukan daripada surat kredit.

Sementara itu, beliau berkata Tifli gagal melindungi kepentingan Delima dalam transaksi dengan Safitex, Quantum, Matrix, RDC, dan Azonda.

“Beliau telah mengetepikan keperluan surat kredit yang diteteapkan bawah polisi kumpulan kewangan FGV untuk penjualan eksport kepada mereka.

“Beliau telah juga meluluskan peruntukan kredit terbuka (tanpa cagaran atau sekuriti) kepada Azonda walaupun tiada penilaian kelayakan kredit Azonda dibuat,” katanya.

Zakaria berkhidmat sebagai presiden kumpulan dan CEO FGV pada 1 April 2016 hingga 18 Sept 2018. Beliau juga pengarah di Delima dari 1 Jan 2016 hingga 18 Sept 2018.

Tifli adalah CFO FGV dari 1 Jan 2018 hingga 12 Okt 2018.