Pihak pendakwaan mahu pinda tuduhan kes laporan audit 1MDB

Bekas perdana menteri Najib Razak dituduh meminda laporan akhir audit 1MDB. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes Najib Razak berhubung laporan audit 1MDB mahu meminda tuduhan terhadap bekas perdana menteri itu dan bekas ketua pegawai eksekutif, Arul Kanda Kandasamy.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib beritahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mereka mahu tuduhan yang dipinda itu dibacakan terhadap Najib dan Arul.

Bagaimanapun, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah membantah pindaan yang dicadangkan itu, mengatakan ia mempunyai implikasi yang serius terhadap kes pihak pembelaan.

“Pindaan ini secara drastik dapat mengubah posisi pihak pendakwaan,” katanya.

“Inti pemeriksaan balas kami terhadap saksi adalah tidak salah meminta untuk meminda laporan audit yang belum muktamad.”

Shafee beritahu mahkamah bahawa pihak pendakwan, di permulaan perbicaraan, meminda tuduhan terhadap Najib dan Arul dengan mendakwa Najib menyalahgunakan kedudukannya dan menyebabkan pindaan pada laporan audit 1MDB yang disediakan ketua audit negara ketika itu, Ambrin Buang sebelum ia dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Sekarang pihak pendakwaan mahu kata ketua audit negara sudah memuktamadkan laporan audit itu, dan mendakwa ia kemudian dipinda,” katanya.

Shafee juga berkata pihak pembelaan sedang mempertimbangkan permohonan bawah Seksyen 173(g) Kanun Tatacara Jenayah dengan hujah tuduhan itu tidak berasas.

Pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram pula berkata kes pihak pendakwaan beri perhatian kepada dakwaan Najib menggunakan kedudukannya, mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan audit itu.

“Perkara paling penting adalah tumpu pada kesalahan itu.

“Berdasarkan keterangan Ambrin, Salwani, dan Nafisah, kita sudah tunjukkan laporan itu bukan salinan darf,” katanya.

Nor Salwani Muhammad adalah pengarah Jabatan Audit Negara manakala Saadatul Nafisah Ahmad Bashir ketua pasukan JAN bagi audit khas 1MDB.

Hakim membenarkan perbicaraan ditanggunhkan sehingga 24 Jun selepas Shafee meminta masa untuk menyediakan bantahannya.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan imuniti daripada tindakan undang-undang berhubung dakwaan beliau meminda laporan audit 1MDB antara 22 dan 26 Feb 2016.

Arul pula dituduh bersubahat.