Pilihan raya kilat boleh sebabkan Parlimen tergantung, kata aktivis

Aktivis sosial Chandra Muzaffar berkata undang-undang anti-lompat parti harus digubal bagi memaksa ahli Parlimen yang berhijrah ke parti lain bertanding semula.

PETALING JAYA: Aktivis sosial Chandra Muzaffar ragu-ragu pilihan raya kilat akan menstabilkan kerajaan kerana parti yang menang mungkin tidak akan dapat majoriti yang selesa.

“Ia mungkin tidak boleh selesaikan masalah yang kita hadapi kerana tidak pasti apakah mana-mana parti akan dapat majoriti jelas, menyebabkan wakil rakyat akan rasa hendak melompat lagi,” katanya kepada FMT, mengulas seruan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz.

Nazri menyeru pilihan raya diadakan apabila krisis Covid-19 selesai, mengatakan pilihan raya baru akan menghentikan permainan antara Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan mengenai sokongan majoriti. Kedua-dua gabungan itu mendakwa masing-masing ada sokongan ahli Parlimen teramai.

Chandra berkata pilihan raya mungkin boleh menyebabkan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tergantung, menyebabkan lompat-melompat besar kemungkinan berlaku.

Sejak PN mengambil alih Putrajaya pada 29 Feb, gabungan itu berjaya menawan Johor, Melaka, Perak, dan Kedah daripada PH. Sekarang kemungkinan tumbangnya kerajaan Sabah menjadi perbualan.

Chandar berkata pilihan raya baru tidak akan menjamin kestabilan. “Ketakpastian akan berterusan,” katanya.

Beliau menyeru undang-undang digubal bagi memaksa seorang wakil rakyat bertanding semula sekiranya beliau berhijrah ke parti lain.

“Sekiranya anda terpilih dan diberi mandat oleh Parti X dan mengambil keputusan untuk tinggalkan parti itu untuk parti lain atau jadi wakil rakyat bebas, pilihan raya mesti diadakan,” katanya.

“Anda perlu serahkan mandat kepada rakyat. Ini cara terbaik dalam demokrasi bagi melihat adakah rakyat bersetuju dengan keputusan anda.”

Chandra berkata satu lagi pilihan raya umum tidak lama selepas PRU diadakan akan menelan belanja yang besar.

Beliau berkata apa yang lagi menggerunkan daripada soal belanja adalah mengadakan pilihan raya ketika krisis Covid-19.

Chandra menarik perhatian kepada kebimbangan terhadap gelombang jangkitan baru di Beijing di sebalik langkah keras terhadap pandemik itu.

“Bahaya sentiasa ada,” katanya. “Masalah itu belum selesai lagi.”

Beliau berkata virus itu boleh berjangkit semasa kempen pilihan raya, walaupun ia dijalankan dari rumah ke rumah.