Putrajaya digesa jangan tahan pemandu teksi bawa PATI di bawah Sosma

(Dari kiri) Bendahari Gabungan Teksi Semalaysia, Fazli Fathil, Presidennya, Kamarudin Mohd Hussain, Naib Presiden, Manugheera Sellany dan Ahli Jawatankuasa, Manickan Masupu dalam sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan yang mewakili pemandu teksi menggesa pihak berkuasa tidak menahan atau mendakwa pemandu teksi yang didapati membawa pendatang tanpa izin (PATI) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma kerana mereka tiada hak memeriksa penumpang.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata pemandu teksi perlu menerima setiap penumpang atau berisiko disaman Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

“Permit kami boleh digantung juga,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, 6 pemandu teksi kini ditahan di bawah Sosma.

Katanya, menahan pemandu selama berhari-hari, merampas permit dan kenderaan mereka untuk tujuan siasatan adalah “tidak berperikemanusiaan”.

“Kami menggesa kerajaan meneliti perkara ini.”

Isnin lalu, GTSM menyerahkan sepucuk surat rayuan kepada Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, Kementerian Dalam Negeri dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, meminta mereka meneliti isu itu dan membebaskan pemandu teksi yang ditahan.

Bendahari GTSM, Fazli Fathil berkata kerajaan perlu fokus untuk mengukuhkan sempadan bukannya menyalahkan pemandu teksi.

“Kami hanya menjalankan tugas kami. Kami tidak patut dipertanggungjawabkan.”