Zahid sumbang RM5.9 juta kepada adik beli 2 banglo, kata saksi

Dalam kertas pertuduhan ke-26, Ahmad Zahid Hamidi didakwa memberi arahan dalam pembelian 2 banglo bernilai RM5.9 juta menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co yang merupakan hasil aktiviti haram.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Ahmad Zahid Hamidi menyumbangkan RM5.9 juta kepada Yayasan Al-Falah untuk pembelian 2 banglo di Country Heights, Kajang menerusi cek Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Peguam dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, 43, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh adik Zahid, iaitu Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi yang merupakan pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili Zahid pada hari ke-22 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit presiden Umno itu membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ketika ditanya Haziq mengenai tujuan pembelian 2 banglo itu, Faisalludin berkata: “Pembelian lot-lot banglo ini untuk tujuan keagamaan.”

Katanya, beliau dimaklumkan Nasaee pembelian 2 banglo yang terbengkalai itu untuk menampung keperluan aktiviti keagamaan di Country Heights memandangkan surau di kawasan berkenaan kecil.

“Setakat ini, ada aktiviti keagamaan yang dijalankan di sebuah banglo lot 403. Banglo lot 356 belum diubah suai,” katanya.

Faisalludin turut mengesahkan Yayasan Al-Falah menerima sekeping cek Maybank bernilai RM5.9 juta yang dikeluarkan Tetuan Lewis & Co bertarikh 4 Jan 2017.

“Cek ini telah diberikan Pengerusi Yayasan Al-Falah (Nasaee) kepada saya untuk diserahkan kepada penjual, iaitu Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew yang merupakan pengarah Bee Garden Holdings Sdn Bhd.”

Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi itu menjelaskan Zahid tidak mempunyai kepentingan dalam Yayasan Al-Falah.

“Yayasan Al-Falah adalah yayasan keluarga Hamidi, manakala Yayasan Akalbudi khas untuk Zahid. Ia berbeza, Yayasan Al-Falah keluarga yang besar, Yayasan Akalbudi (untuk) Zahid seorang saja.”

Dalam kertas pertuduhan ke-26, Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian 2 banglo bernilai RM5.9 juta dengan menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co yang merupakan hasil aktiviti haram.

Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, 8 tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.