Calon PM: DAP, Amanah minta pemimpin PKR tidak hadir rujuk mesyuarat PH, Saifudin

DAP dan Amanah berkata, presiden PKR Anwar Ibrahim tidak mendapat cukup sokongan untuk dinamakan sebagai calon perdana menteri gabungan politik itu.

PETALING JAYA: DAP dan Amanah menyarankan supaya bendahari agung PKR, Lee Chean Chung,membuat rujukan kepada setiausaha agung parti itu berhubung butiran sebenar perkembangan pertemuan Pakatan Harapan (PH) serta Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pelantikan perdana menteri.

Kedua-dua parti komponen PH itu berkata, Lee sepatutnya merujuk maklumat perbincangan mesyuarat gabungan pembangkang itu bersama Mahathir sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Kami mencadangkan supaya Lee merujuk kepada ketua setiausaha Pakatan Harapan, Saifudin Nasution untuk mendapatkan cabutan minit mesyuarat tersebut sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya.

“Seperti yang dikatakan semalam, kami menghormati keputusan dan pendirian PKR dan menerimanya dengan hati terbuka, namun fakta sebenar tidak perlu disembunyikan,” katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan 2 parti itu hari ini melalui setiausaha organisasi DAP, Anthony Loke dan pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad.

DAP dan Amanah juga berkata, Lee bukannya anggota Majlis Presiden PH dan beliau tidak mengetahui butiran mesyuarat yang sebenar.

“Lee bukan anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan dan beliau tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat Majlis Presiden. Justeru beliau tidak tahu isi kandungan perbincangan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat 30 Mei tersebut.

“Kami mengeluarkan kenyataan semalam kerana itulah yang telah diputuskan dan ia telah pun diminitkan,”katanya.

Terdahulu, Lee yang juga Adun Semambu mempertikaikan langkah DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan Mahathir sebagai calon perdana menteri PH Plus.

Kata Lee, sebagai orang yang biasa dengan peraturan mesyuarat, sebarang keputusan PH sepatutnya dicapai dalam mesyuarat gabungan berkenaan terlebih dulu sebelum ia boleh dibawa ke mesyuarat lain.

Dalam kenyataan bersama semalam, Loke dan Khalid memberitahu PKR bahawa presidennya, Anwar Ibrahim gagal mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri, sekali gus menggesa parti itu menerima “opsyen kedua” yang dipersetujui Majlis Presiden PH, iaitu mencalonkan Mahathir.

Mereka juga berharap gabungan itu mendapatkan sokongan untuk Mahathir kerana “opsyen pertama”, iaitu Anwar sebagai perdana menteri, tidak mendapat sokongan mencukupi.