WhatsApp semakin ‘up to date’ ada servis pemindahan wang

WhatsApp kini melancarkan fungsi pembayaran digital buat pengguna mereka bermula di Brazil. (Gambar TechCrunch)

Dalam berdepan penularan Covid-19, aplikasi menggunakan e-wallet semakin menjadi pilihan ramai apabila ia dilihat dapat mengelakkan sentuhan.

Dan WhatsApp antara salah satu media sosial yang terbaru dan tidak mahu ketinggalan dalam mengguna pakai perkhidmatan itu.

Selepas lebih setahun melakukan ujian dan penambahbaikan, WhatsApp kini melancarkan fungsi pembayaran digital buat pengguna mereka.

Aplikasi yang dimiliki oleh Facebook ini mengumumkan pengguna di Brazil akan menjadi negara yang pertama dalam menggunakan Facebook Pay.

Ia perkhidmatan yang membolehkan pengguna untuk menghantar dan menerima wang hanya melalui WhatsApp.

Menurut laman web WhatsApp, servis pembayaran digital ini adalah percuma buat pengguna biasa, namun syarikat mereka akan mengenakan caj servis kepada akaun bisnes yang mahu menggunakan Facebook Pay.

Untuk mengaktifkan Facebook Pay, pengguna perlu memautkan akaun WhatsApp kepada kad kredit atau debit, dengan menggunakan kata laluan 6 digit pin atau cap jari untuk proses pengesahan.

Buat masa ini di Brazil, WhatsApp bekerjasama dengan Banco do Brasil, Nubank dan Sicredi untuk proses transaksi Facebook Pay.

Sebelum ini, Facebook telah melakukan cubaan sistem transaksi ini di India (menggunakan sistem berlainan), namun menghadapi beberapa masalah teknikal yang kini masih dalam proses baik pulih.

Dengan pengguna bulanan aktif seramai 120 juta pengguna, Brazil menjadi pilihan WhatsApp untuk menjadi negara pertama pelancaran Facebook Pay ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]