Guru kecewa kerajaan kurangkan cuti sekolah, kata Maszlee

Maszlee Malik berkata, Kementerian Pendidikan perlu mendekatkan diri dengan guru untuk mendengar, berbincang dan mengiktiraf pendapat profesional mereka.

PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik mempersoalkan Kementerian Pendidikan kenapa tidak berbincang dengan guru sebelum meminda kalendar akademik 2020 dengan memendekkan cuti akhir tahun berbaki 2 minggu.

Katanya, beliau dihujani luahan guru melalui mesej peribadi dan media sosial yang tidak berpuas hati dengan keputusan Putrajaya memendekkan cuti sekolah.

“Saya secara peribadi berasa sedih dan juga kecewa ketika pendapat guru tidak diambil kira dalam keputusan penting seperti yang dilaksanakan oleh menteri pendidikan hari ini.

“Guru-guru yang mengajar dari rumah ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), melaksanakan kelas dalam talian setiap hari, bersungguh-sungguh menghantar kerja rumah melalui WhatsApp, gigih merakam video untuk tontonan anak murid, mereka semua adalah ‘frontliner’ penting di bahagian pendidikan ketika seluruh dunia diserang virus koronavirus.

“Adakah semata-mata kerana kes Covid-19 reda dan surut hari ini, kerajaan dan menteri pendidikan mahu melupakan jasa ‘frontliner’ di bahagian pendidikan ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Maszlee menggesa Kementerian Pendidikan mengambil kira pendapat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan organisasi lain bagi memastikan pandangan mereka dipertimbangkan ketika membuat perubahan dasar.

Katanya, kementerian perlu mendekatkan diri dengan guru untuk mendengar, berbincang dan mengiktiraf pendapat profesional mereka.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengumumkan cuti pertengahan penggal 2 dikurangkan daripada 9 hari kepada 5 hari bagi semua sekolah.

Cuti akhir tahun bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

Katanya, pindaan itu bertujuan membantu sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran pelajar kerana selepas sekolah sudah ditutup lebih 3 bulan.

Sekolah akan dibuka semula esok untuk pelajar tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.