Sekolah dibuka semula Rabu supaya ada masa baiki SOP, kata menteri

Radzi Jidin berkata, SOP pembukaan semula sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan akan ditambah baik dari semasa ke semasa, bergantung kepada isu berbangkit sepanjang sesi persekolahan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Jidin berkata sekolah dibuka semula untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam bermula esok supaya kerajaan mempunyai masa pada hujung minggu untuk memperbaiki sebarang kesilapan dalam prosedur operasi standard yang kali pertama diperkenalkan itu.

“Kami memang memilih 2 hari tersebut kerana jika ada sebarang pembaikan yang perlu dilakukan terhadap SOP atau apa-apa proses, kami ada hari minggu.

“Sekurang-kurangnya kami ada masa 2 hari untuk melihat mana-mana isu khusus yang perlu ditangani. Jika kami bermula Isnin, kita akan buka 5 hari berturut-turut, tiada ruang langsung,” katanya dalam wawancara khas disertai beberapa media sebelum ini.

Radzi berkata, sesi persekolahan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor ialah Rabu serta Khamis, manakala negeri lain dari Rabu hingga Jumaat.

“Secara amnya ia bagi tujuan strategik. Bagi kami, ini satu operasi besar untuk membawa 500,000 pelajar ke sekolah. Ya, kami telah mencuba SOP itu dan didapati SOP itu berjalan dengan baik.”

Pada 10 Jun lalu, Radzi mengumumkan pelajar kelas peperiksaan awam akan kembali ke sekolah esok yang membabitkan kira-kira 500,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM), Sijil Tinggi Agama (STAM) dan peperiksaan antarabangsa.

Radzi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pandangan dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, SOP yang dikeluarkan pihaknya akan ditambah baik dari semasa ke semasa, bergantung kepada isu berbangkit sepanjang sesi persekolahan.

“Penilaian SOP akan berterusan kerana tiada orang yang tahu jika SOP ini boleh berjaya atau tidak ataupun meramal apa yang akan berlaku. Kita tidak tertakluk dengan masa-masa tertentu untuk membuat penilaian semula.

“Katakan lebih 2,000 sekolah yang akan dibuka dan terdapat 10 isu yang perlu diberi perhatian, jadi kita akan menyusun isu-isu itu dan selepas itu kita boleh buat lampiran kepada SOP itu, bagaimana cara untuk menambah baik.”