1 direman, 3 diburu dalam dakwaan rogol wanita Nigeria

Mazlan Lazim menggesa orang ramai sentiasa menyemak maklumat diperolehi dan tidak menyebarkan sebarang spekulasi.

PETALING JAYA: Polis mengesahkan seorang lelaki direman dan 3 lagi suspek diburu berhubung dakwaan merogol seorang wanita Nigeria berusia 30 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata 3 lelaki dan seorang wanita Thailand berusia 28 hingga 44 tahun ditahan susulan laporan polis dibuat wanita Nigeria itu pada 4 Jun lalu yang mendakwa beliau dipukul beberapa lelaki.

Katanya, 3 lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan mangsa dan direman 5 hari mulai 5 Jun lalu.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada 9 Jun lalu selepas permohonan menyambung reman ditolak mahkamah.

“Wanita Thailand tersebut disiasat di bawah Seksyen
6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan lengkap dan direman 14 hari bermula 5 hingga 18 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita Nigeria itu ke rumah teman lelaki yang baru dikenalinya di Cheras pada 4 Jun lalu, di mana beliau dipukul suspek dan rakannya.

Katanya, seorang daripada 3 lelaki itu kemudiannya ditahan semula pada 20 Jun lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen KL.

Beliau berkata, lelaki berusia 44 tahun itu direman mulai 21 hingga 26 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Pada 9 Jun lalu, lebih kurang 7.50 malam, setelah selesai memberi keterangan berkaitan kes pukul, pengadu telah membuat laporan polis mengenai kejadian rogol yang berlaku pada hari sama pengadu dipukul.

“Pada awalnya, pengadu tidak mahu memanjangkan kes rogol dan enggan membuat pemeriksaan di hospital. Namun, pengadu membuat laporan polis ke-2 setelah ditahan di wad 3 hari dan dinasihatkan polis membuat laporan berkaitan kejadian tersebut.”

Mazlan berkata, wanita Nigeria itu kemudiannya direman 14 hari mulai 10 Jun hingga semalam dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Pengadu kini ditempatkan di Penjara Kajang sehingga siasatan kes rogol selesai.”

Beliau menggesa orang ramai sentiasa menyemak maklumat diperolehi dan tidak menyebarkan sebarang spekulasi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.