Kenduri kahwin, sambutan hari lahir dibenarkan bermula 1 Julai

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan majlis sosial seperti kenduri dan sambutan hari lahir dibenarkan bermula 1 Julai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kehadiran ke majlis seperti itu dihadkan kepada 250 orang pada satu masa, dan selama 3 hingga 5 jam sahaja.

Selain kenduri dan sambutan hari lahir, antara majlis yang disebut menteri pada sidang media hari ini adalah pertunangan, perjumpaan (reunion), dan ulang tahun perkahwinan.

Kebenaran turut diberikan bagi majlis bersifat keagamaan, seperti tahlil, akikah, dan doa selamat.

Menyentuh soal makanan majlis, Ismail berkata makanan hendaklah secara hidangan. Jika bufet disediakan, pelayan hendaklah menghidangkan makanan.

Syarat lain adalah kaunter saringan hendaklah disediakan di pintu masuk bagi memastikan bilangan kehadiran, pemeriksaan suhu badan, dan saringan gejala.

“Tetamu dengan suhu badan melebihi 37.5 Celsius atau bergejala tidak dibenarkan masuk,” katanya, dan menambah penganjur dan tetamu digalakkan memakai pelitup muka dan mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera.

“Dinasihatkan supaya tidak menganjur majlis yang sukar untuk mengawal keadaan, terutamanya jika ramai orang pada satu-satu masa dan perilaku tetamu sukar dikawal,” katanya.

Sementara itu, kerajaan juga membenarkan ibadah korban sempena Aidiladha di semua masjid, surau, dan kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan.

Penganjur perlu melaporkan kegiatan yang akan dijalankan kepada pejabat kesihatan daerah terdekat, serta menyediakan kaunter di pintu masuk bagi tujuan pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan, dan merekodkan kehadiran.

Penganjur juga mesti memastikan bilangan korban bersesuaian dengan keupayaan bilangan petugas, yang dihadkan kepada tidak melebihi 30 orang bagi menguruskan seekor lembu.

Petugas hendaklah sihat, tidak bergejala, dan tidak mengidap penyakit kronik. Mereka juga perlu mendaftarkan diri menerusi MySejahtera, memastikan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 3 meter, dan memakai pelitup muka dan sarung tangan.

Proses melapah dan keratan daging hendaklah dibuat di tempat yang sesuai dan lapang.

“Proses sembelihan digalakkan untuk menggunakan peralatan dan sistem moden dalam sembelihan seperti ‘sangkar sembelihan’,” katanya.

Menteri berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyediakan SOP ibadah korban yang boleh dijadikan rujukan negeri-negeri.

“Selain daripada masjid, surau, serta kawasan yang mendapat kelulusan pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa tempatan (PBT), 28 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta 31 rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan oleh DVS dibenarkan untuk menjalankan penyembelihan,” katanya.