Bayi setahun demam panas selepas warga emas sengaja batuk di mukanya

Rakaman CCTV dari tempat kejadian menunjukkan wanita itu batuk pada bayi itu 2 atau 3 kali.

Seorang bayi lelaki alami demam panas selepas seorang warga emas dengan sengaja membuka topeng muka dan batuk di muka bayi itu di sebuah kafe.

Ibu bayi berusia setahun itu, Mireya Moya memberitahu anaknya mengalami suhu badan tinggi selepas kejadian pada 12 Jun itu.

Rakaman CCTV dari tempat kejadian menunjukkan wanita itu batuk pada bayi itu 2 atau 3 kali.

Polis percaya insiden itu sengaja dilakukan kerana warga emas itu kecewa melihat keluarga Moya gagal menjaga jarak sosial ketika di dalam kafe.

Manakala Moya pula percaya kejadian itu sebenarnya adalah bermotifkan rasis.

“Ia berlaku dengan begitu cepat sehingga saya terkejut. Dia semakin dekat, menanggalkan topengnya dan batuk tiga kali dengan kuat di muka anak saya.”

Dia percaya warga emas itu sengaja melakukannya sebaik sahaja dia bercakap dalam bahasa Sepanyol dengan neneknya.

Berdasarkan pemerhatiannya juga, semasa kejadian itu keluarga dihadapannya adalah orang berkulit putih manakala mereka sekeluarga merupakan orang Latin.

Moya masih belum melakukan ujian saringan Covid-19 untuk anaknya walaupun bayi itu sekarang nampaknya sedang pulih dari demam yang dia alami.

Rakaman kamera pengawasan kejadian menunjukkan Moya dengan cepat menarik penutup “stroller” anaknya bagi melindunginya dari serangan batuk itu.

Warga emas yang disyaki berumur lingkungan 60 tahun itu kemudian segera keluar daripada kafe berkenaan selepas itu.

Buat masa ini, polis sedang memburu wanita terbabit bagi menyiasat kejadian ini sebaik sahaja menerima laporan daripada pihak pengurusan kafe.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]