Pekebun jadi terkenal ekoran wajah mirip Donald Trump

Wanita yang juga pekebun di Sepanyol menjadi popular selepas wajahnya mirip Donald Trump.

Seorang wanita di Sepanyol tidak disangka-sangka menjadi popular di media sosial selepas ramai mendapati wajahnya mirip dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Seorang wartawan yang membuat laporan mengenai perladangan di Sepanyol, memuat naik sekeping gambar Doroles Leis berpakaian seperti pekebun di Instagram.

Gambar tersebut kemudian mendapat ribuan maklum balas.

Malah wanita berusia 64 tahun itu turut diminta untuk memberi komen mengenai dasar AS dan isu-isu antarabangsa meskipun dia lebih bimbang terhadap wabak yang melanda tanaman kentangnya.

“Saya rasa ia mesti disebabkan warna rambut sehingga disamakan dengan Trump,” kata Leis kepada akhbar La Voz de Galicia.

Leis bagaimanapun mempunyai perbezaan yang ketara dengan Trump kerana dia tidak menggunakan telefon bimbit dan tidak gemar berbual secara dalam talian.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]