Influencer Rusia sempat posing dengan ‘superbike’ baru sebelum maut dalam kemalangan di Bali

Anastasia berposing di depan Kawasaki Ninja 250 sebelum terlibat kemalangan.

Kemalangan tidak berbau. Itulah pepatah yang sering digunakan jika ia melibatkan sesuatu kemalangan yang tidak disangka.

Seorang influencer remaja terkenal Rusia maut selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Bali, Indonesia.

Menurut Coconuts, Anastasia Tropitsel yang berusia 18 tahun itu berada di Bali bersama dengan teman lelakinya, Viktor Maydanovich, 30 tahun.

Pada hari kejadian, Anastasia dan Viktor bersiar-siar di sekitar pulau Bali, masing-masing menunggang motor berlainan.

Ketika berada di Jalan Sunset Road, Seminyak, Anastasia yang menunggang Kawasaki Ninja 250 yang baru dibelinya itu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Malangnya, dia meninggal serta merta akibat kecederaan parah di kepala.

Anastasia dikatakan menunggang dengan kelajuan sekitar 100km sejam dan terlanggar pembahagi jalan hingga mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Video kejadian yang dirakam penduduk setempat menjadi viral di media sosial menunjukkan mayatnya terbaring di tepi jalan dan Viktor yang sedang meratapi pemergian teman wanitanya itu.

Anastasia merupakan blogger terkenal di Rusia dan bergelar jutawan pada usia 15 tahun selepas berjaya memperoleh pendapatan melalui kejayaannya di internet.

Dia juga mempunyai seramai 1.2 juta pengikut di Instagram.

Difahamkan, Anastasia tiba di Bali untuk tujuan mempromosikan Instagram miliknya namun terpaksa tinggal lebih lama dek kerana perintah lockdown akibat Covid-19.

Viktor bagaimanapun menafikan kekasihnya itu memecut laju seperti yang dikatakan ramai sebaliknya hanya menunggang 80-100km sejam tetapi nasibnya malang terlibat dalam kemalangan.

“Anastasia menunggang pada kelajuan 90-100km sejam di laluan itu, sama seperti yang orang lain lakukan. Dia sentiasa tunggang dengan selamat dan ikut peraturan. Tapi, motosikalnya mula hilang kawalan.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]