KKM: Tiada zon merah Covid-19, hanya 28 zon kuning dengan 117 kes aktif

Hanya 28 daerah di seluruh negara dikategorikan zon kuning Covid-19 dengan jumlah jangkitan di bawah 40 kes.

PETALING JAYA: Lima negeri kini merupakan zon hijau selepas tidak merekodkan kes aktif Covid-19 membabitkan penularan tempatan.

Negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Infografik Kementerian Kesihatan hari ini berhubung pergerakan taburan kes Covid-19 selama 14 mengikut daerah di negara ini, iaitu dari 13 Jun sehingga 26 Jun juga menunjukkan tiada daerah dikategorikan sebagai zon merah.

Manakala itu hanya 28 daerah di seluruh negara merupakan zon kuning dengan jumlah jangkitan di bawah 40 kes.

Rembau merupakan daerah yang merekodkan jangkitan paling tinggi dengan 37 kes, diikuti Lembah Pantai 14 kes.

Selangor adalah negeri dengan zon kuning paling banyak, iaitu 8.

Daripada 191 kes yang sedang dirawat, 117 kes membabitkan jangkitan tempatan, sementara bakinya merupakan kes import jangkitan luar negara.

Sesebuah daerah diisytiharkan zon merah apabila ia mencatatkan lebih 40 kes aktif Covid-19.

Setakat hari ini, 121 kematian dan 8,606 kes positif Covid-19 direkodkan, manakala 8,294 pesakit disahkan pulih dan 191 masih menerima rawatan.