Suhakam gesa Putrajaya hentikan hukuman deraan

Suhakam berkata, apa-apa juga bentuk deraan dan hukuman tidak berperikemanusiaan tidak sepatutnya dibenarkan.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa Putrajaya bertindak bagi memastikan tiada hukuman deraan dikenakan ke atas tahanan.

Seruan itu dibuat sempena memperingati Hari Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini dalam memerangi penderaan, sekali gus menyokong penyertaan dalam Konvensyen Menentang Penderaan dan Layanan atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) serta Protokol Pilihan.

“Larangan penderaan adalah termaktub di bawah Perkara 3 Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 dan juga Perkara 5 perlembagaan persekutuan Malaysia.

“Suhakam menyeru kerajaan, selaku pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan larangan penderaan di bawah undang-undang adat antarabangsa, agar segera menjalankan langkah-langkah di seluruh negara, termasuk mengurangkan kadar pemenjaraan tahanan bagi mengatasi kesesakan di pusat tahanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Badan itu juga menggesa kerajaan memastikan penyiasatan segera dijalankan terhadap semua aduan kes penderaan dan layanan tidak berperikemanusiaan, diikuti dengan pelaksanaan proses pendakwaan dan pendengaran selaras dengan piawaian antarabangsa apabila wujud bukti yang boleh dipercayai.

Ia juga meminta kerajaan mengintitusikan latihan hak asasi manusia dan pembangunan kapasiti untuk semua pegawai penguat kuasa perkhidmatan awam.

“Selain itu pelan tindakan pembasmian penderaan yang menyeluruh perlu dibangunkan dengan mengambil kira 3 elemen yang saling berkait, termasuk rangka kerja undang-undang larangan penderaan, pelaksanaan rangka kerja undang-undang yang efektif dan mekanisme untuk memantau rangka kerja undang-undang serta pelaksanaannya.

“Ini termasuk mengkaji semula kesesuaian dan meminda undang-undang domestik atau menggubal undang-undang baru bagi memberikan kesan kepada prinsip konvensyen, serta mengambil langkah dari segi perundangan, pentadbiran, kehakiman dan mendukung hak terhadap maruah dan keselamatan setiap individu,” katanya.

Ia berkata, apa-apa jua bentuk tindakan penderaan atau hukuman yang tidak berperikemanusiaan tidak sepatutnya berlaku.

“Suhakam juga menyeru kerajaan untuk memansuhkan apa-apa juga undang-undang berkenaan, dan bentuk hukuman alternatif yang tidak melibatkan kecederaan fizikal dilaksanakan sebagai ganti kepada hukuman dera.

“Dengan kemahuan politik serta kepimpinan teguh, Suhakam yakin ia boleh direalisasikan dalam masa terdekat,”katanya.