Vaksin baru Covid-19 sedang dicuba ke atas manusia bermula di UK

Kira-kira 300 sukarelawan akan disuntik beberapa minggu akan datang, sebagai sebahagian daripada percubaan vaksin ke atas manusia.

Seluruh dunia masih bertungkus lumus mencari vaksin Covid-19 sebagai usaha mengekang penularannya.

Terbaru peserta sukarelawan mula diimunisasi dengan vaksin Covid-19 yang baru di United Kingdom (UK).

Kira-kira 300 sukarelawan akan disuntik beberapa minggu akan datang, sebagai sebahagian daripada percubaan vaksin ke atas manusia yang diketuai oleh Profesor Robin Shattock dan rakan-rakannya, di Imperial College London.

Ujian ke atas haiwan menunjukkan bahawa vaksin itu selamat dan mencetuskan tindak balas imun yang berkesan.

Percubaan vaksin ke atas manusia dilakukan di banyak lokasi dengan terdapat sekitar 120 program vaksin yang sedang dibangunkan.

Kathy, 39, yang bekerja dalam bidang kewangan, adalah salah seorang sukarelawan pertama yang mengambil bahagian dalam percubaan di Imperial.

Wanita itu mengatakan hasratnya menjadi sukarelawan kerana dia ingin berperanan dalam memerangi wabak maut itu.

“Saya fikir ia bermula daripada tak tahu apa yang patut dilakukan untuk membantu, dan ini ternyata sesuatu yang dapat saya lakukan.

“Dan memahami bahawa tidak mungkin situasi akan kembali normal sehingga ada vaksin, jadi saya ingin juga menjadi sebahagian daripada perkembangan ini,” katanya.

Selepas fasa pertama ini, percubaan lain sedang dirancang untuk Oktober, yang melibatkan 6,000 orang sukarelawan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]