Wakil rakyat DAP berhijrah ke Gerakan

PETALING JAYA: Gerakan mengumumkan seorang wakil rakyat DAP berhijrah ke parti itu hari ini.

Parti itu berkata Presiden Dominic Lau Hoe Chai mengalu-alukan penyertaan Adun Buntong, A Sivasubramaniam dan penyokongnya pada sidang media di Ipoh hari ini.

“Lau berkata salah satu sebab A Sivasubramaniam melepaskan keahlian DAP adalah kerana sikap tamak kuasa dan terlalu sombong para pemimpinnya,” katanya dalam kenyataan.

“Gerakan akan terus memperkasakan jenteranya dalam menghadapi pilihan raya umum mengejut yang mungkin diadakan pada bila-bila masa. Kewibawaan dan perjuangan yang dipraktikkan oleh Gerakan selama ini akan membawa kejayaan,” katanya.

Sivasubramaniam secara rasmi menyertai Gerakan selepas bekas wakil rakyat DAP dari Perak itu mengumumkan keluar parti itu pada 9 Mac dan menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan hari ini, Sivasubramaniam yang merupakan Adun 3 penggal di Buntong berkata, beliau bertindak keluar DAP selepas mengalami “pengalaman pahit” selama 22 bulan bersama parti itu di Perak.

“Kita semua kenal kononnya DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum berpaksikan demokrasi.

“Tetapi keadaan sebenarnya adalah terlalu pahit. Demokrasi dalam DAP Perak dikuasai oleh 1-2 orang yang mengetepikan kesuburan demokrasi dalam parti itu.

“Di peringkat negeri, 2 saudara terlalu selesa dan kuat. Tiada siapa yang boleh menegur mereka, tiada siapa boleh menasihati mereka. Demokrasi ala DAP terlalu cacat,” katanya tanpa menyebut nama pemimpin yang dimaksudkan.

Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya umum lepas.