Permohonan subsidi upah ditolak kerana nombor perniagaan, akaun bank silap, kata Perkeso

Perkeso akan sedaya upaya memastikan bayaran dibuat kepada semua majikan yang layak menerima bantuan subsidi upah.

KUALA LUMPUR: Kesilapan nombor pendaftaran perniagaan (BRN) dan nombor akaun bank majikan antara faktor yang menyebabkan permohonan program subsidi upah (PSU) ditolak.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, punca lain termasuk akaun majikan tidak aktif atau nombor telefon majikan tidak dapat dihubungi.

Beliau berkata, Perkeso mengambil berat masalah majikan yang belum menerima bayaran PSU.

“Setelah semakan semula kes ditolak oleh bank, Perkeso mendapati masih terdapat kesilapan pada nombor BRN atau nombor akaun yang diberi dalam permohonan PSU, dan ada akaun bank majikan yang tidak aktif ataupun nombor telefon majikan tidak dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, majikan yang belum menerima subsidi upah boleh terus menghubunginya melalui [email protected] atau hotline 1-300-22-8000 atau ke mana-mana pejabat Perkeso.

Katanya, Perkeso akan sedaya upaya memastikan bayaran dibuat kepada semua majikan yang layak menerima bantuan subsidi upah.

PSU ialah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan bergaji RM4,000 dan ke bawah untuk membantu majikan terjejas dari segi ekonomi akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan.

Untuk membantu majikan terus beroperasi dengan mengekalkan pekerja pada waktu mencabar ini, kerajaan melonggarkan syarat di bawah PSU, antaranya majikan dibenar mengurangkan waktu bekerja mingguan diikuti pengurangan gaji dengan persetujuan pekerja.