Presiden Brazil rayu arahan mahkamah pakai topeng

Hakim mengarahkan Jair Bolsonaro mematuhi peraturan memakai topeng di khalayak ramai atau berdepan denda 2,000 real (RM1,566.53). (Gambar AFP)

BRASILIA: Presiden Brazil, Jair Bolsonaro membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah pada Jumaat mewajibkan beliau memakai topeng di khalayak ramai ketika penularan pandemik Covid-19 yang disifatkannya “tidak perlu”.

Jabatan Peguam Negara yang mewakili kerajaan dalam hal undang-undang, berkata keputusan itu berlebihan kerana topeng sudah mandatori di Brasilia.

“Campur tangan daripada mahkamah ini tidak perlu,” kata seorang jurucakap pejabat peguam negara kepada AFP.

Bagaimanapun, Hakim Renato Borelli dalam penghakimannya pada Isnin lalu berkata, presiden pelampau kanan itu berulang kali mengingkari peraturan berkenaan.

“Presiden mempunyai kewajipan perlembagaan untuk mematuhi undang-undang yang dilaksanakan di negara ini,” tulis hakim ketika memerintah Bolsonaro mematuhi peraturan itu atau didenda 2,000 real (RM1,566.53).

Kes itu difailkan seorang peguam yang berkata, presiden perlu bertanggungjawab terhadap “tindakannya yang tidak bertanggungjawab”.

Sejak keputusan mahkamah itu, Bolsonaro sudah memakai topeng ketika muncul di khalayak ramai.

Brasilia mewajibkan pemakaian topeng di khalayak ramai sejak April lalu dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Bolsonaro sering melanggar langkah penjarakan sosial, berjabat tangan dan memberi pelukan di perhimpunan, mengadakan barbeku serta ke lapang sasar tanpa memakai topeng.