Siapa sangka Aznah Hamid pernah jadi heroin Rajinikanth

Aznah Hamid pernah menjadi heroin dalam filem Priya bersama dengan Superstar Rajinikanth untuk versi bahasa Kannada. (Gambar Youtube)

Sebut sahaja nama Rajinikanth pasti semua tahu ia merupakan satu-satunya hero filem Tamil.

Aksi lakonannya sentiasa memukau sesiapa sahaja yang menontonnya.

Dengan gelaran “Superstar”, Rajinikanth bukanlah nama yang asing dalam kalangan peminat tempatan dengan filem-filem lakonannya sebelum ini terutamanya Kabali yang diterbitkan pada 2016.

Namun mungkin ramai yang tidak tahu atau terlepas pandang, pelakon wanita tempatan kita Aznah Hamid sebelum ini juga pernah menjadi heroin kepada pelakon dari India itu dalam filem Priya pada 1979.

Walaupun perkara tersebut bukanlah baru diketahui, namun rata-rata netizen terkejut dengan perkongsian mengenainya yang dibuat Joey BPR di akaun Facebook miliknya beberapa hari lalu.

“Meremang bulu roma pula dapat tahu berita ni, entah la sebab bangga kot, hebat,” tulis Haris Mohd Salleh di ruangan komen.

“Waa, betul la, shooting pun macam dekat Malaysia, filem tahun berapa ini?

“Aznah Hamid memang jambu masa mudanya,” tambah Kamaruzaman Othman mengenai perkara itu.

Buat anda yang masih tidak tahu, filem Priya yang dilakonkan Aznah bersama Rajinikanth itu diterbitkan pada tahun 1979 dan penggambarannya pula dilakukan di Malaysia, Singapura dan Hong Kong.

Perkara itu dijelaskan sendiri Aznah dalam satu temu bual yang pernah diterbitkan di Harian Metro beberapa tahun lalu.

Salah satu babak Aznah bersama dengan Rajinikanth. (Gambar Youtube)

“[…]sempat juga saya berlakon dalam filem Tamil berjudul Priya (1979) dan hero saya adalah Rajinikanth. Filem itu dibikin di Malaysia, Singapura dan Hong Kong. Priya diterbitkan dalam dua versi bahasa, Kannada dan Tamil yang juga menampilkan aktres Sridevi.

“Saya dan Rajinikanth menjadi hero dan heroin untuk versi bahasa Kannada. Berbelit lidah membaca skrip dalam bahasa itu tetapi mungkin kerana ketika itu saya muda lagi, senang nak ingat dialog. Ada jurubahasa yang menjelaskan jalan cerita dan dialog agar saya boleh faham,” katanya.

Malah beliau juga mendedahkan pernah mendapat tawaran berlakon di Hollywood dan Indonesia namun terpaksa menolak atas beberapa sebab tertentu.

Aznah Hamid merupakan pelakon wanita veteran dan sentiasa membintangi drama dan filem di kaca TV dan juga merupakan ibu kepada pelakon Sheera Iskandar.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]