1 mati ditembak di lokasi protes kematian Breonna Taylor

Tamika Palmer, ibu kepada Breonna Taylor berucap pada bantahan menuntut keadilan untuk kematian anaknya di luar bangunan Kentucky State Capitol di Frankfort, Kentucky pada Khamis lalu. (Gambar AP)

KENTUCKY: Seorang maut dan seorang lagi cedera dalam satu tembakan di Louisville, Taman Dataran Jefferson di Kentucky pada lewat malam Sabtu yang menjadi lokasi bantahan terhadap tindakan polis membunuh seorang wanita kulit hitam di rumahnya Mac lalu.

Laporan tembakan di taman itu berlaku pada 9 malam, menurut Jabatan Polis Louisville.

“Panggilan diterima yang anggota Jabatan Syerif berada di taman itu cuba menyelamatkan seorang lelaki yang kemudiannya mati di tempat kejadian,” kata polis dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, polis menyuraikan orang ramai di taman itu dan penyiasat sedang menjalankan siasatan. Tiada butiran lanjut diberikan.

Datuk Bandar Louisville, Greg Fischer berkata beliau sedih dengan keganasan yang berlaku di lokasi orang ramai berkumpul untuk menyuarakan kebimbangan mereka.

“Ia adalah tragedi yang kawasan bantahan aman ini kini menjadi lokasi jenayah,” tulisnya di Twitter.

Taman itu menjadi pusat membantah kematian Breonna Taylor, wanita kulit hitam yang mati ditembak ketika penyiasat dadah menyerbu rumahnya di Louisville kira-kira 3 bulan lalu.

Taylor, juruteknik perubatan kecemasan berusia 26 tahun, terbunuh pada 13 Mac lalu selepas polis menyerbu pangsapurinya dengan waran tangkap “tanpa ketukan”.

Seorang daripada 3 pegawai yang terbabit dalam tembakan maut itu dipecat Selasa lalu.

Pembunuhan Taylor kembali menjadi tumpuan susulan kematian George Floyd, lelaki kulit hitam yang terbunuh selepas seorang anggota polis melutut di lehernya hampir 9 minit ketika menahannya di Minneapolis pada 25 Mei lalu.

Dua kejadian itu dan beberapa kematian orang kulit hitam lain menjadi tumpuan bantahan di seluruh negara terhadap kekejaman polis dan perkauman dalam sistem keadilan jenayah AS.