7 ditahan bunuh mangsa culik bergelar Datuk Seri

Mahkamah membenarkan permohonan reman terhadap semua suspek antara 5 dan 7 hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

RAWANG: Polis menahan 7 lelaki, termasuk seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes menculik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemui di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata semua suspek, termasuk dalang yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Selangor bermula 11 pagi Jumaat lalu.

“Mahkamah membenarkan permohonan reman terhadap suspek antara 5 dan 7 hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 3 Akta Culik 1961,” katanya di lokasi yang dipercayai tempat mangsa disembunyikan di Taman Kosaso, di sini semalam.

Katanya, siasatan awal polis mendapati seorang daripada suspek menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan S$50 juta, namun tiada bayaran dibuat.

Beliau berkata, mangsa juga dipercayai mengenali dalang kes ini.

Fadzil berkata, mangsa yang terlibat dalam perniagaan hartanah dipercayai meninggal dunia 3 atau 4 hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang mula reput.

Katanya, punca sebenar kematian mangsa masih dalam siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, pada 10.30 pagi 10 Jun lalu.

Mayat lelaki berusia 55 tahun itu ditemui kira-kira 9 pagi semalam susulan penangkapan beberapa suspek kes berkenaan.