Jangkitan terus naik, AS catat lebih 2.5 juta kes Covid-19

Papan tanda elektronik di Laluan Santa Monica mengingatkan orang ramai memakai topeng di California pada April lalu. (Gambar AP)

WASHINGTON: Amerika Syarikat kini mencatatkan lebih 2.5 juta kes Covid-19, ketika negara yang paling terjejas itu terus menyaksikan peningkatan jangkitan di beberapa negeri, menurut statistik Universiti Johns Hopkins.

Terdapat 2,500,419 kes positif Covid-19 di AS, menurut pengiraan universiti yang berpangkalan di Baltimore itu.

Jumlah kematian di AS pula kini melebihi 125,000 orang, kira-kira 1/4 daripada 495,000 kematian di seluruh dunia.

Florida pada Sabtu melaporkan 9,585 kes dalam tempoh 24 jam lalu. Tindakan pembukaan semula ekonomi di negeri itu menyaksikan ramai yang ke pantai dan bar.

Ia antara lebih separuh daripada negeri di AS, khasnya di bahagian selatan dan barat, yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 – satu daripada kesan dan rintangan terhadap usaha pembukaan semula ekonomi.

Texas dan Florida, yang mempunyai gabenor Republican enggan melanjutkan sekatan pergerakan, mengumumkan sekatan baru ke atas bar.