Kerajaan akan bentang RUU tiada tindakan projek lewat siap ketika PKP

Terdapat 700 hingga 800 permohonan daripada pemaju untuk melanjutkan tempoh menyiapkan projek perumahan yang tergendala selama 3 bulan susulan pelaksanaan PKP.

TAIPING: Tiada tindakan undang-undang ke atas pemaju yang lewat menyiapkan projek perumahan antara kandungan Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan Covid-19 yang dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen bulan depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata perkara itu diusulkan berikutan banyak projek perumahan tergendala dan tidak dapat disiapkan mengikut jadual susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Apabila kita gubal RUU itu nanti, akan ada klausa iaitu kedua-dua pihak (pembeli dan pemaju) tidak boleh saman satu sama lain. Kita akan buatkan terma baru,” katanya selepas lawatan kerja rasmi ke Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting semalam.

Setakat ini, katanya, terdapat 700 hingga 800 permohonan daripada pemaju untuk melanjutkan tempoh menyiapkan projek perumahan yang tergendala selama 3 bulan susulan pelaksanaan PKP.

“Pembeli juga perlu menerima hakikat mereka tidak boleh membuat tuntutan mengikut perjanjian asal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih serius dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan kesilapan bahasa pada papan iklan.

Katanya, perkara itu perlu bagi memastikan setiap permohonan untuk tujuan pengiklanan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Jadi, tidak perlu untuk DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) mengambil tugas itu kerana PBT boleh menguatkuasakannya. Saya juga akan mengingatkan PBT untuk kuatkuasakan akta sedia ada supaya lebih tegas kepada mereka yang salah guna bahasa.”

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Awang Sariyan yang meminta kerajaan meminda Akta DBP bagi memberi sedikit kuasa kepada badan berkanun itu mengambil tindakan, termasuk ke atas PBT yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan.

Awang mendakwa hampir semua 150 PBT di seluruh negara dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu dan ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil.