Menakjubkan… Selepas 14 hari dirawat lelaki berusia 114 tahun pulih Covid-19

Aba Tilahun berusia 114 tahun pulih daripada wabak Covid-19 selepas 14 hari menerima rawatan.

Seorang doktor merasakan satu yang luar biasa apabila pesakitnya, seorang lelaki berusia lebih daripada 100 tahun dari Ethiopia, pulih daripada wabak Covid-19.

Menurut ahli keluarga Aba Tilahun Woldemichael, lelaki itu berusia 114 tahun dan menjadi lelaki tertua di dunia, namun tidak ada sijil kelahiran untuk mengesahkan usia sebenarnya.

Aba Tilahun disahkan positif wabak Covid-19 selepas proses pemeriksaan rawak dilakukan di kawasan kejiranannya, di Addis Ababa.

“Dia dimasukkan ke hospital sebelum menunjukkan sebarang gejala.

“Ini membolehkan pasukan perubatan proaktif dengan rawatan dan mengawasinya dengan teliti,” demikian kata Dr Hiluf Abate sewaktu program Newsday BBC.

Mengikut rekod, mana-mana individu yang berusia lebih daripada 80 tahun dianggap antara yang paling berisiko sekiranya mereka dijangkiti wabak Covid-19.

Aba Tilahun yang merupakan biarawan Kristian Ortodoks Ethiopia, kini dijaga di rumah oleh cucunya.

“Ketika saya di hospital, saya berdoa kepada Tuhan agar kembalikan kesihatan saya. Saya menangis dan berdoa agar seluruh negara kembali sihat,” katanya kepada BBC.

Aba Tilahun menerima rawatan selama 14 hari di hospital, dan dia memerlukan bantuan oksigen lebih daripada seminggu.

Ethiopia mencatatkan lebih daripada 5,000 kes positif Covid-19 dengan 81 kes kematian.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]