Polis buru ‘Sheikh Ismail’ dalam kes culik, bunuh ‘Datuk Seri’

Mangsa bergelar’ Datuk Seri’ dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, pada 10.30 pagi 10 Jun lalu.

PETALING JAYA: Polis hari ini meminta bantuan orang ramai memberikan maklumat mengenai individu dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes culik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, yang mayatnya ditemui di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, individu berkenaan dikenali sebagai Sheikh Ismail Sheikh Hassan, 26 tahun, dan menetap di 2 alamat, yang kedua-dua terletak di Bukit Beruntung MK Land, Rawang, iaitu No J-2-01 dan No J-3-29 Apartmen Teratai, Bukit Beruntung MK Land, Rawang.

Pada masa sama, Fadzil berkata, post mortem bagi kes berkenaan masih dalam proses dan akan disambung pada Khamis ini.

Katanya, polis menahan 7 individu yang terdiri daripada 3 lelaki India, 3 lelaki Melayu dan seorang warganegara Bangladesh.

Pada 26 Jun, polis berjaya menahan seorang lelaki India dan seorang lelaki Melayu. Mereka ini direman selama 7 hari, bermula 27 Jun hingga 2 Julai.

Manakala itu, 2 lagi lelaki Melayu yang turut ditahan pada hari sama direman selama 5 hari.

Pada 27 Jun, seorang lelaki India dan seorang lelaki warganegara Bangladesh ditahan dan direman selama 5 hari, bermula 28 Jun hingga 2 Julai.

Seorang lagi lelaki India direman selama 3 hari, bermula 28 Jun hingga 30 Jun ini.

Kesemua mereka berumur antara 20 tahun hingga 56 tahun.

Difahamkan, salah seorang suspek berbangsa India yang ditahan juga bergelar “Datuk”.

Siasatan awal polis mendapati seorang daripada suspek menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan sebanyak S$50 juta, namun tiada bayaran dibuat.

Menurut polis, mangsa dipercayai mengenali dalang kes.

Fadzil berkata, mangsa yang terlibat dalam perniagaan hartanah dipercayai meninggal dunia 3 atau 4 hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang mula reput.

Bagaimanapun katanya, punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, pada 10.30 pagi 10 Jun lalu.

Mayat lelaki berusia 55 tahun itu ditemui kira-kira jam 9 pagi kelmarin susulan penangkapan beberapa orang suspek.