Singapura catat 213 kes baru Covid-19, majoriti di asrama pekerja

Sehingga kini 26 orang meninggal dunia di Singapura akibat komplikasi yang berpunca daripada Covid-19, dengan 2 kes pertama dilaporkan pada 21 Mac. (Gambar AF)

SINGAPURA: Singapura yang kini berada pada minggu kedua fasa ke-2 pembukaan semula, hari ini mengesahkan 213 kes baru jangkitan Covid-19 dengan 11 kes melibatkan jangkitan dalam komuniti.

Dalam data ringkas yang dikeluarkan tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan Singapura berkata, daripada 11 kes itu, 6 adalah rakyat tempatan, manakala 5 merupakan pemegang pas kerja.

Menurutnya, kebanyakan kes masih melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Ini sekali gus menjadikan jumlah terkumpul kes Covid-19 di Singapura sebanyak 43,459 kes, dengan kes pertama dikesan pada 23 Jan lepas.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,857 daripada kes berkenaan sebagai berkaitan dengan komuniti, 581 kes import, dan 40,808 melibatkan pekerja asing di asrama.

Menurut kementerian itu, secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam komuniti meningkat daripada purata 4 kes sehari kepada 6 kes sehari, pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tidak berkaitan dalam komuniti turut meningkat, daripada purata 2 kes sehari kepada 3 kes sehari dalam seminggu yang lepas.

Sehingga tengah hari semalam, sebanyak 37,163 (86%) daripada jumlah pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital atau tempat penjagaan komuniti.

Semalam, sebanyak 174 kes menerima rawatan di hospital dengan 1 kes kritikal kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.

Tambahnya, sebanyak 5,883 pesakit dengan simptom ringan atau secara klinikal, tetapi positif Covid-19 diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 26 orang meninggal dunia di Singapura akibat komplikasi yang berpunca daripada Covid-19, dengan 2 kes pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Empat kluster baru dikenal pasti semalam, melibatkan 3 asrama di 79 Kaki Bukit Industrial Terrace; 208 Woodlands Industrial Park E5 dan 230 Woodlands Industrial Park E5.

Kluster ke-4 adalah di tapak pembinaan The Florence Residences di 713 Hougang Avenue 2.