Usul PM tukar speaker, timbalan demi elak undi tak percaya, kata bekas menteri

Liew Vui Keong menggesa Muhyiddin Yassin menjelaskan alasan beliau mahu menggantikan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong mendakwa langkah Muhyiddin Yassin menukar speaker Dewan Rakyat dan timbalannya bertujuan mengelakkan usul tidak percaya terhadapnya sebagai perdana menteri pada bulan depan.

Beliau menyifatkan usul Muhyiddin itu tidak berperlembagaan.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu berkata, pemasaan usul yang pertama kali berlaku itu “penuh dengan campur tangan eksekutif dalam hal ehwal cabang perundangan negara”.

Katanya, doktrin pemisahan kuasa, yang Malaysia amalkan, menetapkan kerajaan, Parlimen dan badan kehakiman ialah 3 cabang berasingan serta bebas sebuah negara.

Liew berkata, 3 cabang itu tidak boleh campur tangan hal ehwal satu sama lain.

Tetapi, katanya, inilah yang dilakukan Muhyiddin, menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk menyingkirkan Speaker, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

“Oleh itu, usulnya ialah mala fide (tidak berniat baik) dengan kepentingan peribadi dalam hasilnya.

“Ini bertentangan Perlembagaan Persekutuan, melanggar doktrin pemisahan kuasa dan tidak boleh diterima.”

Liew berkata, Muhyiddin tidak memberi sebarang alasan atau sebab terhadap usul penyingkiran Ariff dan Nga yang menurutnya menjalankan tugas mereka dengan sangat profesional serta adil.

Beliau menggesa perdana menteri menjelaskan usul menyingkirkan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat demi kepentingan umum.

Katanya, Muhyiddin perlu berhenti menunjukkan secara terang-terangan beliau tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menjelaskan campur tangannya dalam hal ehwal Parlimen dengan segera.

“Beliau bukannya tidak boleh ditegur atau terkecuali daripada Perlembagaan Persekutuan. Beliau perlu bertanggungjawab.”

Ariff yang dilantik sebagai speaker selepas pilihan raya umum 2018, dilaporkan berkata Muhyiddin menyerahkan usul itu ke pejabatnya.

Mei lalu, Arif menerima usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.