Hampir 300 kematian Covid-19 di AS dengan jangkitan kekal tinggi

Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 percuma yang ditawarkan Pusat Perubatan Memorial United di Konsulat Mexico, Houston pada Ahad. (Gambar AP)

WASHINGTON: Sebanyak 288 kematian Covid-19 dilaporkan di Amerika Syarikat dalam tempoh 24 jam lalu, menurut statistik Universiti Johns Hopkins pada Ahad, dengan kadar jangkitan kekal tinggi dan negara itu bergelut mengawal lonjakan baru kes.

Ekonomi terbesar dunia itu ialah negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 dengan 125,768 kematian dicatatkan daripada lebih 2.5 juta kes positif, menurut universiti yang berpangkalan di Baltimore itu.

Bar di Los Angeles dan 6 daerah lain di California diarahkan tutup semula pada Ahad ketika AS melaksanakan semula langkah penutupan dalam usaha mengurangkan lonjakan kes Covid-19.