Pemaju patut tanggung kerugian sendiri, kata kumpulan pembeli rumah

Pemaju patut kurangkan harga dan bukan diberi insentif, kata kumpulan pembeli rumah.

PETALING JAYA: Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah Malaysia menggesa kerajaan pertimbang semula inisiatif untuk sektor hartanah dalam pelan pemulihan ekonomi Penjana.

Setiausaha Agung Chang Kim Loong berkata walaupun Putrajaya berniat baik, 3 langkah yang dirangka dalam Penjana nampak seperti “tidak dipertimbangkan dan dirancang dengan baik”.

Tiga langkah itu adalah:

  • Pengecualian duti setem untuk kediaman berharga RM300,000 hingga RM2.5 juta, terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah.
  • Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah untuk sehingga 3 hartanah sehingga 31 Dis tahun depan;
  • Had pembiayaan rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak tertakluk kepada 70% daripada nilai rumah.

Mengenai pengecualian duti setem, Chang berkata kutipan duti setem yang lebih rendah bermakna kerajaan mesti mencari hasil lain.

“Kenapa pemaju tidak berikan peratus diskaun lebih tinggi untuk hartanah yang tidak terjual? Kenapa negara perlu ‘mensubsidikan’ pemasaran produk pemaju? Mereka buat keputusan yang silap dan kita pula yang ‘subsidikan’ kerugian mereka?” katanya.

Chang berkata sebab sebenar kebanyakan pemaju tidak dapat jual hartanah mereka adalah kerana harga.

Beliau berkata pengecualian CKHT mungkin menyebabkan harga rumah meningkat sekali lagi, kerana tujuan sebenar cukai itu adalah untuk mengawal inflasi dan spekulasi yang mendorong kenaikan harga rumah.

Mengenai had pembiayaan pula, Chang berkata ini boleh mengalakkan golongan berkemampuan meminjam, mendedahkan institusi kewangan kepada lebih banyak risiko.

“Dasar pinjaman mapan berdasarkan pinjaman yang cermat dan bertanggungjawab, dengan disokong bukti kemampuan sebenar untuk membayar, dengan analisis risiko kredit dan risiko hartanah secukupnya, akan lebih membantu industri ini.”

Chang mencadangkan pemaju menawarkan diskaun lebih tinggi untuk menjual lebihan stok daripada diberi pengecualian duti setem.

“CKHT harus dikenalkan dengan pemansuhan cukai berterusan sebanyak 5% melepasi tahun ke-5 pembelian.

“Had pembiayaan 70% adalah prerogatif peminjam iaitu bank dan institusi kewangan. Langkah ini tidak menjana manfaat ekonomi kecuali mungkin membolehkan golongan kaya membeli lebih banyak hartanah dan bank menanggung risiko.”

Chang juga berkata jika kerajaan meneruskan “pengecualian dan manfaat” Penjana ini, ia juga harus diberikan kepada pasaran sekunder dan bukan sahaja rumah yang dijual pemaju.

Beliau juga mencadangkan geran awalan kepada pembeli rumah pertama bagi membolehkan mereka membeli rumah mampu milik yang ada.

“Ini boleh menarik lebih ramai orang membeli rumah serta selesaikan masalah perumahan.”