Pengantin lelaki meninggal dunia selepas majlis perkahwinan, tetamu disahkan positif Covid-19

Tetamu majlis perkahwinan disahkan positif Covid-19 selepas pengantin lelaki meninggal sehari selepas majlis. (Gambar AP)

Malang tidak berbau apabila lebih 30 penduduk kampung panik selepas seorang pengantin lelaki meninggal dunia sehari selepas majlis perkahwinannya.

Ia sekaligus membuatkan semua penduduk kampung yang menghadiri majlis perkahwinan itu sah dijangkiti Covid-19.

Kesemua yang disahkan positif hadir majlis perkahwinan tersebut yang diadakan pada 17 Jun lalu.

Pengantin lelaki yang berasal dari sebuah kampung di daerah Patna bekerja di Gurgaon pulang ke kampung pada 15 Jun, dan terus menuju ke tempat perkahwinan di blok Naubatpur Patna.

Menurut penduduk kampung pengantin lelaki itu berada dalam keadaan yang sakit semasa upacara perkahwinan sedang dilakukan.

Sebaik sahaja upacara selesai, pengantin lelaki dihantar pulang ke rumah awal pagi esok dengan pengantin perempuan di sisinya.

Pada waktu malamnya pula, diadakan kenduri besar-besaran untuk para tetamu perkahwinan.

Sebilangan besar penduduk kampung menghadiri majlis makan malam tersebut.

Dan keesokan harinya, keadaan pengantin lelaki bertambah buruk dan dia dikejarkan ke pusat kesihatan utama kerajaan yang terletak di blok Paliganj.

Dengan keadaannya yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan sembuh, dia dipindahkan ke Institut Sains Perubatan All India di Patna.

Namun, dia rebah dan meninggal dunia ketika kenderaan yang membawanya sampai di pintu masuk hospital.

Selepas kematiannya, ahli keluarga membawa jenazahnya pulang dan membakarnya tanpa memberitahu pihak kesihatan.

Mereka juga tidak melakukan sebarang ujian untuk mengetahui sama ada mendiang telah dijangkiti Covid-19 atau tidak.

Sementara itu, beberapa penduduk kampung yang musykil melaporkan perkara itu kepada pegawai tempatan.

Mereka turut memberitahu bagaimana pengantin lelaki meninggal dunia setelah perkahwinannya dilangsungkan.

Difahamkan kampung pengantin lelaki pulang di Gurgaon di Haryana merupakan salah satu negeri di India yang terjejas teruk dengan Covid-19.

Sehubungan itu, sepasukan daripada Jabatan Kesihatan negeri segera ke tempat kejadian dan mengumpulkan sampel daripada 125 penduduk kampung yang menghadiri kenduri kahwin itu dan mendapati 15 daripadanya didapati memberikan keputusan ujian positif Covid-19.

Kemudian pada 20 Jun, pihak berkuasa kesihatan negeri mengumpulkan sampel dari 81 orang lagi dari kawasan yang terjejas.

Daripada jumlah itu, 16 didapati positif Covid-19 dan menurut Pegawai kesihatan Dr Ramanujam, sebahagian besar yang positif adalah tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]