Syarikat peroleh kebenaran semakan kehakiman ke atas tempoh bayar balik hutang 6 bulan

Peguam Wabina Construction & Engineering Sdn Bhd Ong Yu Shin dan Soon Ley Theng Mahkamah Tinggi di George Town hari ini.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman ke atas perintah menteri dalam warta kerajaan yang membenarkan syarikat membayar balik hutang dalam tempoh 6 bulan, bukannya 21 hari, semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) serta menghalang syarikat yang tidak dapat membayar daripada digulung atau diisytihar bankrap.

Hakim Rosilah Yop membenarkan permohonan Wabina Construction & Engineering Sdn Bhd (Wabina) yang mahu perintah menteri bertarikh 23 April disemak semula.

Dalam permohonannya Wabina berkata, Perintah (Pengecualian) Syarikat 2020 diwartakan tanpa dibahaskan di Parlimen dan adalah tidak selaras dengan Akta Syarikat.

Peguamnya Ong Yu Shin juga memohon untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Persekutuan untuk penelitian sama ada perintah itu selari dengan perlembagaan negara.

Beliau berkata, langkah itu juga akan membolehkan mahkamah tertinggi membuat keputusan sama ada menteri boleh membuat perubahan ke atas undang-undang berkaitan pembayaran syarikat kepada pemiutang tanpa perkara itu didengar di Parlimen terlebih dahulu.

Peguam kanan persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim tidak membantah permohonan untuk menyemak perintah menteri.

Beliau bagaimanapun membantah permohonan Ong untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan hanya melalui permohonan lisan dengan berkata, ia seharusnya difailkan secara sah.

Rosilah mengarahkan Ong membuat permohonan rasmi, sebelum beliau meneliti penghujahan kedua-dua belah pihak.

Pengurusan kes ditetapkan pada 14 Julai depan.

Pada 12 Mei, Wabina menamakan kerajaan persekutuan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menterinya Alexander Nanta Linggi, Suruhanjaya Syarikat dan Seal Properties (KL) Sdn Bhd sebagai responden dalam semakan itu.

Pada Februari Wabina memperoleh anugerah berjumlah RM7 juta terhadap Seal Properties, tetapi susulan perintah Linggi ia berkata, ia tidak mendapat wangnya dalam tempoh 21 hari atau menyebabkan Seal Properties diisytiharkan insolven atau bankrap.

Ia mendakwa menteri bertindak secara tidak munasabah dan melampaui bidang kuasanya dengan mengubah undang-undang substantif dalam Akta Syarikat tanpa melalui Parlimen.

Sebelum pelaksanaan perintah menteri, syarikat yang berhutang mempunyai tempoh maksimum 21 hari untuk melunaskan hutang mereka. Sekiranya gagal, syarikat boleh digulung di bawah Seksyen 466 (1)(a) Akta Syarikat 2016.