24 penguat kuasa ditahan, geng seludup Rohingya antara 3 sindiket tumpas

Geng Husen Maungdaw yang diketuai lelaki Rohingya bergiat aktif sejak 2014 dan antara dalang dalam penyeludupan pelarian Rohingya yang mendarat di Langkawi baru-baru ini. (Gambar APMM)

KUALA LUMPUR: Seramai 24 anggota polis, tentera dan imigresen ditahan, manakala 3 sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) tumpas dalam operasi dari 4 hingga 20 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata penahanan itu membabitkan 14 anggota polis dan 5 tentera di Johor, 3 anggota polis di Perak dan 2 pegawai imigresen di Pulau Pinang.

“Semua pegawai tersebut masih ditahan di bawah Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012) untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, 3 sindiket penyeludupan PATI yang tumpas ialah Geng Husen Maungdaw yang didalangi lelaki Rohingya, Geng Otong di Johor dan Geng Halim di Perak.

Katanya, 111 suspek berusia 28 sehingga 68 tahun, termasuk 3 ketua sindiket terbabit turut ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kontinjen negeri itu, manakala 2 lagi ahli Geng Otong, 4 ahli Geng Halim serta 2 ahli Geng Husen Maugdaw sedang diburu.

Polis turut merampas wang tunai, barangan termasuk telefon bimbit, kenderaan dan bot berjumlah RM1.5 juta.

“Geng Otong di Johor, 57 ditahan. Geng Halim di Perak, 35 ditahan dan Geng Husen Maungdaw di Pulau Pinang 19 suspek ditahan.”

Katanya, Geng Otong yang diketuai lelaki Indonesia bergiat aktif di perairan Johor sejak 2014, manakala Geng Halim yang diketuai lelaki Melayu bergiat aktif di perairan Hutan Melintang, Perak sejak 2017.

Huzir berkata, Geng Husen Maungdaw bergiat aktif sejak 2014 dan antara dalang terbabit dalam penyeludupan pelarian Rohingya yang mendarat di Langkawi baru-baru ini.

“Keahlian Geng Husen Maungdaw lebih 20 orang, di mana majoritinya terdiri daripada etnik Rohingya. Mangsa penyeludupan migran dan samun berkumpulan ini juga daripada kalangan etnik Rohingya.”

Katanya, anggota sindiket itu pernah ditahan dan didakwa di mahkamah beberapa kali atas kesalahan penyeludupan migran serta samun di utara Semenanjung Malaysia.

“Keahlian 3 kumpulan ini semakin bertambah.

“Ahli kumpulan ini ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan (menjadi ahli kumpulan jenayah terancang). Siasatan dan pendakwaan ke atas mereka menggunakan prosedur siasatan Sosma.”

Katanya, 3 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan dengan mengguna pakai prosedur Sosma, Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.

Kes Adib

Huzir berkata, polis akan melengkapkan siasatan ke atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam masa terdekat dan laporannya akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita akan ambil tindakan sepertimana diarahkan pihak pendakwa raya. Kita akan ‘submit’ dan bincang semula dengan peguam negara.”

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kes kematian Adib hanya dapat diteruskan selepas polis mengenal pasti dan menahan pembunuhnya untuk dihadapkan ke mahkamah.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner mendapati kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah oleh 2 atau lebih individu tidak dikenali.

“Oleh sebab itu polis perlu dan sedang menjalankan siasatan untuk kenal pasti pelaku. Itu yang sudah dilaporkan kepada Kabinet. Jadi, kerajaan atau Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan hasil daripada siasatan polis, kita tunggulah,” kata Huzir.

Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018 selepas cedera parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.

Siasatan ke atas Hannah Yeoh

Huzir berkata, kertas siasatan berhubung tweetnya Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkaitan perkahwinan bawah umur akan diserah kepada Jabatan Peguam Negara.

“Jadi biar pendakwa raya tentukan.”

Yeoh yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dipanggil Bukit Aman berhubung satu catatan Twitternya pada 9 Mac lalu kerana mempersoalkan apa yang akan berlaku kepada Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur selepas pelantikan penggantinya, Siti Zailah Mohd Yusoff daripada PAS.

Polis mengesahkan Yeoh disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.