3 pegawai tentera Myanmar didapati bersalah bertindak kejam terhadap Rohingya

Kebakaran berlaku di Kampung Let Kar yang didiami etnik Rohingya di barat Myanmar pada 16 Mei lalu. (Gambar AP)

YANGON: Tiga pegawai tentera Myanmar didapati bersalah oleh sebuah mahkamah tentera menyiasat kekejaman terhadap etnik Rohingya beragama Islam di negeri Rakhine yang berdepan konflik.

Langkah yang jarang diambil terhadap anggota tentera itu dibuat ketika Myanmar berdepan pertuduhan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berhubung operasi kejam ke atas Rohingya pada 2017.

Kira-kira 750,000 etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh dengan banyak kes pembunuhan, rogol dan kampung dibakar.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa pasukan keselamatan melakukan kekejaman di pelbagai kampung, termasuk Gu Dar Pyin, di mana sekurang-kurangnya 5 kubur besar yang cetek didakwa ditemui.

Selepas penafian awal terhadap dakwaan itu, pasukan tentera memulakan prosiding mahkamah tentera pada September tahun lalu dan mengakui terdapat “kelemahan dalam mematuhi arahan” di kampung itu.

Pejabat panglima angkatan tentera pada Selasa mengumumkan mahkamah tentera “mengesahkan sabitan bersalah” itu dan menjatuhkan hukuman ke atas 3 pegawai terbabit.

Bagaimanapun, tiada butiran diberikan berhubung tertuduh, jenayah dan hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka.

Mangsa terselamat yang melarikan diri ke Bangladesh menganggarkan ratusan orang maut di perkampungan Rohingya.

Kerajaan Myanmar sebahagian besarnya menyokong alasan operasi ketenteraan pada 2017 untuk menghapuskan pemberontak.

Pemimpin Aung San Suu Kyi mengakui di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Disember tahun lalu yang kuasa tidak seimbang digunakan.

Angkatan tentera Myanmar mempertahankan kekejaman hanya dilakukan beberapa individu ingkar.

Penyiasat PBB turut menemui bukti pembunuhan di luar bidang kehakiman di kampung Rakhine lain, Maung Nu and Chut Pyin.

Pejabat pangliman tentera pada Selasa berkata, satu inkuiri akan “terus menyiasat” kejadian di kedua-dua perkampungan itu.

Pada 2018, angkatan tentera menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas anggota pasukan keselamatan kerana membunuh 10 etnik Rohingya di Kampung Inn Din, tetapi mereka dibebaskan selepas dipenjarakan kurang dari setahun.

Dua wartawan yang mendedahkan pembunuhan beramai-ramai itu ditahan melebihi 16 bulan sebelum mereka diberikan pengampunan susulan bantahan di seluruh dunia.