Adun Sungai Acheh takkan buat rayuan dipecat PKR

Zulkifli Ibrahim memberi bayangan akan mengikut jejak Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman yang menyertai PPBM.

BUKIT MERTAJAM: Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim yang dilucutkan keahliannya oleh PKR pada Ahad lalu tidak akan membuat rayuan berhubung pemecatannya.

Zulkifli Ibrahim

Katanya, sehingga hari ini, beliau belum menerima surat rasmi pemecatan daripada PKR dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media.

“Saya akan buat kenyataan ataupun sidang media selepas menerima surat nanti. Cuma saya nak tegaskan, saya tidak akan membuat sebarang rayuan selepas menerima surat daripada parti nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Majlis Pimpinan Pusat PKR dalam mesyuarat bulanannya Ahad lalu bersetuju syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan 5 ahlinya, termasuk Zulkifli.

Mengulas hala tuju politiknya selepas ini, Zulkifli memberi bayangan akan mengikut jejak Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman yang menyertai PPBM.