Ahli Parlimen boleh ganti speaker, tapi apa motifnya, soal pakar

Usul dibuat untuk menyingkir Speaker Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

PETALING JAYA: Dua pakar perlembagaan berkata usaha Muhyiddin Yassin untuk menyingkir speaker Dewan Rakyat dan timbalannya adalah mengikut perlembagaan, pendapat yang berbeza dengan dakwaan bekas menteri undang-undang semalam.

Peguam Bastion Pius Vendargon berkata mana-mana ahli Parlimen berhak mengemukakan usul menyingkir speaker untuk dipertimbangkan dan diuruskan seperti biasa.

“Walaupun ahli Parlimen Pagoh kebetulan ketua di Dewan Rakyat dan perdana menteri, iaitu ketua eksekutif, tidak semestinya tindakan itu campurtangan eksekutif dalam legislatif,” katanya kepada FMT.

Verdargon berkata Muhyiddin memainkan peranan sebagai ahli Parlimen Pagoh dan bukannya sebagai perdana menteri.

Semalam. bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong berkata langkah Muhyiddin itu tidak boleh diterima kerana tidak mengikut perlembagaan, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, dan melanggar doktrin pemisahan kuasa.

Muhyiddin cuba menyingkir Speaker Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Liew mendakwa Muhyiddin cuba mengelak usul tidak percaya yang mungkin dibawa terhadapnya bulan depan.

Lim Wei Jiet, timbalan pengerusi jawatankuasa undang-undang perlembagaan di Majlis Peguam berkata sebarang cubaan oleh seorang ahli Parlimen untuk menyingkir seorang speaker adalah mengikut perlembagaan.

Beliau berkata Perkara 57(2) Perlembagaan menyatakan seorang speaker hendaklah meletak jawatan sekiranya itu yang diputuskan oleh Dewan Rakyat.

Persoalan yang berkaitan adalah kenapa kerajaan pimpinan Muhyiddin mengambil langkah itu.

“Ini boleh disimpulkan sebagai cubaan untuk melantik seorang speaker yang mudah dengan kerajaan, dan harap dapat menghalang sebarang usul tidak percaya daripada diundi di Dewan Rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi peguam, Dominic Puthucheary berkata walaupun beliau belum baca usul itu, mesti ada sebab-sebab yang sah untuk menyingkir speaker, seperti percanggahan kepentingan atau pelanggaran lain yang serius.

Seorang speaker, katanya, tidak boleh disingkir atas sebab peribadi atau percanggahan pendapat. “Menyingkir seorang speaker atas sebab-sebab yang tidak berkaitan adalah tidak mengikut perlembagaan”, katanya, jika seorang speaker tersingkir kerana usul tidak percaya seperti yang dicadangkan Liew.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, yang diterima speaker.

Puthucheary berkata mengusulkan usul tidak percaya adalah hak di sisi perlembagaaan.