Bekas menteri Salleh Keruak batal permohonan sertai PKR

Salleh Said Keruak memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu, iaitu hampir setahun selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan Umno Sabah meninggalkan parti itu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Bekas menteri komunikasi dan multimedia, Salleh Said Keruak membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini, termasuk pergolakan dalaman parti itu.

Katanya, keputusan itu dibuat April lalu dan beliau kekal tidak berparti sejak meninggalkan Umno pada Disember 2018.

“Sejak kebelakangan ini, ramai bertanya kepada saya mengenai pendirian politik saya di sebalik apa yang berlaku dalam landskap politik negara, termasuk di Sabah.

“Pada Mac 2020, saya telah meminta permohonan saya ditangguhkan dahulu agar saya dapat bertemu rakan seperjuangan dan membincangkan hala tuju kami di Sabah,” katanya dalam blognya hari ini.

Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu, iaitu hampir setahun selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan Umno Sabah meninggalkan parti itu.

Salleh berkata, beliau memohon menyertai PKR tahun lalu kerana PKR ketika itu sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan Sabah harus membina hubungan kukuh dengan Putrajaya untuk kekal membangun serta berdaya saing.

“Saya memilihnya (pada waktu itu) demi kesinambungan kerjasama antara Sabah dan kerajaan persekutuan.”

Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata, sebarang keputusan berhubung parti ketika ini dibuat berdasarkan pertimbangan teliti dan mengambil kira pandangan rakan seperjuangan serta akar umbi.