Langgar arahan buat konsert di zon merah, penyanyi dangdut Rhoma Irama bakal didenda

Penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Rhoma Irama menyanyikan beberapa buah lagu menyebabkan orang ramai berkumpul meskipun masih dalam kawalan ketat zon merah.

Seluruh dunia sedang bergelut melawan Covid-19 bagi memutuskan rantaian penularannya namun masih ada sesetengah pihak yang berdegil dengan melanggar arahan yang ditetapkan.

Dan itulah yang berlaku di Indonesia apabila penyanyi dangdut terkenal Rhoma Irama berani mengadakan konsert di tempat zon merah Ahad lalu.

Menurut ketua wilayah, Ade Yasin dia sebelum ini sudah memberikan satu surat amaran kepada Rhoma untuk tidak mengadakan sebarang aktiviti di Desa Cibunian, Kecamatan Pamijah, Kabuten Bogor, Jawa Barat.

Sehubungan itu menurut laporan metro.tempo.co, Rhoma bakal diambil tindakan undang-undang kerana melanggar peraturan PSSB (Pembatasan Sosial Berskala Besar).

“Tiada siapa pun yang akan terlepas jika melanggar peraturan. Proses hukuman akan dijalankan,” katanya.

Berikutan kes ini, Rhoma pernah memuat naik video di laman Facebook miliknya mengatakan dia sudah membatalkan kemunculannya di majlis berkhatan yang diadakan di lokasi tersebut.

Tetapi, Rhoma masih hadir ke acara itu bahkan membuat persembahan dengan menyanyikan beberapa buah lagu.

Menurut Ade Yasin, Rhoma yang hadir sebagai tetamu undangan namun persembahannya itu dianggap membuatkan orang ramai akan berkumpul sedangkan Bogor masih dalam PSSB sehingga 2 Julai 2020.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]