Majlis Presiden PH perlu putuskan pencalonan Shafie jadi PM, kata DAP dan Amanah

Lim Guan Eng dan Khalid Samad berkata, PH perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional.

PETALING JAYA: DAP dan Amanah menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk membuat keputusan berhubung cadangan mencalonkan Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai perdana menteri gabungan itu, jika ia berjaya merampas kembali Putrajaya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu berpendirian isu itu sangat penting dan Majlis Presiden PH perlu bermesyuarat segera sebelum Dewan Rakyat bersidang 13 Julai ini.

“CEC menegaskan pendirian, kedudukan PH perlu diperkukuhkan dan pada masa sama, PH perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited menentang Perikatan Nasional.

“CEC mengambil maklum cadangan pencalonan ini adalah bersejarah kerana melibatkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur dipertimbangkan buat julung kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amanah dalam kenyataan berasingan turut sependapat isu itu perlu diputuskan Majlis Presiden PH demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional dengan ini bersetuju merujuk perbincangan berkaitan pencalonan perdana menteri kepada Majlis Presiden PH dalam waktu terdekat untuk mendapat keputusan bersama,” kata Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad.

Sabtu lalu, Dr Mahathir Mohamad mendedahkan kumpulannya bersama DAP, Amanah dan Warisan dalam satu pertemuan tidak rasmi bersetuju mencadangkan Shafie sebagai calon perdana menteri.

Katanya, mereka turut mencadangkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon timbalan perdana menteri 1 dan anaknya, Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri II, jika pembangkang berjaya kembali ke Putrajaya.

Mahathir berkata, Shafie ialah salah seorang pemimpin asal yang menentang kerajaan kleptokrasi Barisan nasional sebelum pilihan raya umum ke-14 dan pemimpin awal yang menjadi mangsa pentadbiran bekas perdana menteri, Najib Razak.

Semalam, Shafie dilaporkan berkata, beliau bersyukur dengan cadangan menjadi calon perdana menteri PH, tetapi memerlukan masa untuk mempertimbangkannya dan berbincang dengan pemimpin tertinggi Warisan.

Katanya, beliau akan membuat keputusan sebelum Parlimen bersidang semula bulan depan.