PKR larang pemimpin kanan bercakap dengan FMT

Liputan FMT mengenai perbalahan dalaman PKR dan pertembungan parti itu dengan rakan-rakan PH berhubung isu calon perdana menteri dikatakan ‘tidak wajar’ terhadap pemimpin PKR.

PETALING JAYA: PKR melarang pemimpin kanannya bercakap dengan FMT, langkah yang dilihat sebagai cubaan parti itu menunjukkan ia tidak berpuas hati dengan liputan laman berita itu.

FMT dapat tahu mengenai larangan itu daripada perbualan antara beberapa wartawannya dengan pemimpin kanan PKR, yang enggan mengulas soalan yang diajukan.

Sekurang-kurangnya sebuah lagi parti Pakatan Harapan dikatakan sedang mempertimbangkan larangan sama, namun belum ada sebarang arahan rasmi dikeluarkan.

Difahamkan arahan PKR berkenaan FMT itu disampaikan kepada pemimpin kanan baru-baru ini, dengan arahan untuk hanya bercakap dengan media yang mesra.

“Tetapi ini bukanlah boikot ‘total’. Kami masih membenarkan mereka hadiri sidang media kami,” kata seorang sumber parti yang minta namanya dirahsiakan.

Tiga pemimpin kanan lain juga mengesahkan mereka ada terima arahan berkenaan FMT itu itu, tetapi cubaan untuk mendapatkan pengesahan rasmi belum berjaya atas sebab-sebab yang jelas.

Boikot saluran media pernah dikenakan parti-parti politik sebelum ini, terutama pada 1990-an semasa penggal pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, susulan liputan televisyen dan akhbar ke atas ahli politik pembangkang.

Seorang ahli politik kanan PKR, yang juga anggota majlis pimpinan pusat parti itu, bagaimanapun berkata liputan FMT mutakhir ini, mengenai perbalahan dalaman dan pertembungannya dengan rakan-rakan Pakatan Harapan berhubung isu calon perdana menteri, “tidak wajar” terhadap pemimpin partinya.

“Ada kebocoran maklumat dalam mesyuarat dalaman parti, termasuk cadangan dan cubaan politik yang sedang dibincangkan,” kata pemimpin parti itu, secara khusus merujuk kepada laporan oleh seorang koresponden politik mengenai langkah PH untuk melantik Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Langkah itu mengundang kritikan daripad Anwar, dan pemimpin parti itu menyarankan ia keluar PH selepas menolak sebarang cubaan untuk mengembalikan ahli politik berusia 95 tahun itu.

PKR paling teruk terkesan dengan tumbangnya kerajaan PH awal tahun ini.

Parti itu, yang sebelum ini dilihat sebagai tunjang gabungan PH yang mentadbir Putrajaya selama 22 bulan, dilanda pembelotan, memaksa ia melakukan pembersihan dalaman termasuk menyingkir beberapa ahli lama parti itu yang dilihat sebagai sekutu bekas timbalan presiden mohamed Azmin Ali, seorang menteri kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional.