SPRM serbu syarikat ketika siasatan projek terowong P Pinang disambung
SPRM menyerbu 3 syarikat dan ahli politik serta pegawai negeri itu akan disoal siasat.
GEORGE TOWN: FMT difahamkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu 3 syarikat ketika siasatan rasuah ke atas projek terowong dasar laut Pulau Pinang disambung semula susulan petunjuk baru yang ditemui penyiasat.
FMT tidak menyiarkan nama syarikat terbabit sementara menunggu komen mereka.
Serbuan itu menyusul penahanan seorang bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Difahamkan, pegawai berusia 50-an itu ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah petang tadi. Pegawai SPRM kemudiannya menyerbu rumahnya.
Lelaki terbabit sebelum ini memegang jawatan kanan di sebuah badan berkanun Pulau Pinang.
Mac lalu, SPRM dilaporkan berkata, ia mempunyai 6 kertas siasatan berhubung projek itu. Dokumen itu dikatakan berkaitan siasatan dan membabitkan pegawai tertinggi negeri turut dibocorkan dalam talian.
Sementara itu, sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata, SPRM akan memanggil beberapa exco negeri itu dan pegawai dari Majlis Bandaraya Seberang Perai untuk disoal siasat.
Agensi anti-rasuah itu sudah menyoal siasat beberapa ahli politik dan pegawai negeri itu pada Februari 2018, hanya 3 bulan sebelum pertukaran kerajaan susulan pilihan raya umum pada Mei tahun itu.
Lebih 100 saksi dipanggil ketika itu, dalam siasatan ke atas kajian kebolehlaksanaan bernilai RM305 juta dan reka bentuk terperinci yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang melalui satu perjanjian pertukaran tanah.
Sekarang nampaknya siasatan ke atas projek terowong dasar laut itu masih “diteruskan”.
“Tanggapan kes itu ditutup tidak benar. Kami sudah menerima petunjuk baru yang memerlukan soal siasat ke atas saksi semula,” kata sumber itu.
Projek terowong dasar laut dan 3 lebuh raya bernilai RM6.3 bilion itu yang dicadangkan kerajaan Pulau Pinang bertujuan mengurangkan lalu lintas di jambatan pertama.
Pembinaan terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai, dijadualkan bermula 2023.
Tiga lebuh raya utama itu dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan Jalan Pangkor ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).
Projek itu ditawarkan melalui tender terbuka pada 2013 kepada Consortium Zenith-BUCG Sdn Bhd (CZBUCG).
Pada mulanya, CZBUCG terdiri daripada Beijing Urban Construction Group (BUCG) yang mempunyai 10% saham dan modal berbayar RM541 juta. Dua lagi pemegang saham ialah Sri Tinggi Sdn Bhd (10%) dan Juteras Sdn Bhd (10%).
BUCG (M) Sdn Bhd memohon untuk menarik diri daripada menjadi rakan kongsi CZBUCG pada September 2016 susulan kemalangan maut kren di Kuala Lumpur pada Ogos tahun sama.
Konsortium itu kini dikenali sebagai Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) dengan Zenith Construction Sdn Bhd dan Vertice Berhad menjadi pemegang sahamnya.
Seorang pegawai CZC dilaporkan berkata, beliau ditekan seorang individu untuk membayar rasuah RM19 juta kepada seorang orang tengah di bawah kerajaan terdahulu bagi melindungi mereka daripada siasatan anti-rasuah.
Orang tengah itu kemudiannya ditahan dan didakwa dengan pertuduhan pengubahan wang.
Kes itu membabitkan ahli perniagaan, G Gnanaraja yang didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu Pengarah Eksekutif Kanan CZC, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebanyak RM19 juta pada 2017, dengan memperdaya beliau untuk percaya Gnanaraja boleh membantunya menutup siasatan pengubahan wang haram terhadapnya oleh SPRM.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, SPRM sudah membersihkan nama CZC dan Zarul daripada sebarang salah laku.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Ia adalah isu yang sudah ditutup, setahu kita,” kata Chow pada April tahun lalu.