Umno diseru beri PPBM 15 kerusi sahaja

Bekas timbalan menteri Nur Jazlan Mohamed berkata Umno harus berkeras dalam rundingan kerusi PRU.

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri dalam negeri, Nur Jazlan Mohamed menggesa Umno berkeras dengan PPBM dalam rundingan kerusi Parlimen yang akan ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.

“Beri mereka 15 kerusi sahaja,” katanya mengulas laporan PPBM mensasarkan 50 kerusi.

Bercakap kepada FMT, beliau mendakwa PPBM tiada sokongan akar umbi untuk membolehkan ia membentuk kerajaan tanpa sokongan Umno.

Beliau berkata sokongan Umno antara sebab kumpulan Muhyiddin dalam PPBM dapat menggantikan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari.

“Muhyiddin jadi perdana menteri kerana sokongan Umno” dan oleh itu Umno harus berkeras dalam rundingan agihan kerusi pilihan raya, katanya.

Nur Jazlan, yang gagal mempertahankan kerusi Pulai pada PRU lepas berkata tidak mustahil Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad, yang mengetuai kumpulan lain dalam PPBM, ada suatu persetujuan yang menguntungkan parti mereka tidak kira gabungan mana yang menang PRU.

“Kalau PN menang, Muhyiddin jadi perdana menteri dan kalau PH menang, Mahathir menang,” katanya.

“Kita jangan terperangkap dengan memberikan 50 kerusi kepada PPBM.”

Maklum akan perselisihan dalam PH akibat pemilihan Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, beliau berkata tidak mustahil Mahathir sengaja melemahkan gabungan pembangkang.

“Ini boleh memaksa PKR untuk meninggalkan PH, menyebabkan DAP sedar yang ia juga semakin lemah memandangkan masyarakat Cina menolaknya kerana menyokong Mahathir sebagai pemimpin PH, yang dilihat sebagai orang tidak berparti,” tambahnya.

Beliau juga mengesyaki Muhyiddin mungkin secara rahsia berunding dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk meyakinkan beliau agar meninggalkan PH selepas gagal menjadi calon perdana menteri gabungan itu.