Bermula hari ini pawagam dibuka semula, sebelum pergi ini anda perlu tahu!

Tanpa kita sedar, penularan virus Covid-19 di seluruh dunia kini sudah mencapai kira-kira 9 juta kes positif.

Lebih separuh daripada jumlah kes positif tersebut pulih namun sudah mencatatkan lebih 400,000 kematian.

Negara yang mencatatkan kes positif paling banyak adalah Amerika Syarikat diikuti oleh Brazil dan Rusia di tempat kedua dan ketiga.

Dari mata kasar, negara kita dilihat berjaya mendatarkan graf jangkitan, terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan.

Ada satu berita gembira yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini iaitu pawagam dan beberapa lagi aktiviti lain akan dibenarkan beroperasi semula mulai 1 Julai 2020.

Kehidupan semasa PKP akibat Covid-19

Dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk rekod, negara kita telah mula berada dalam fasa PKP bermula 18 Mac 2020.

Ia kemudiannya dilonggarkan sedikit demi sedikit dengan pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Jika segalanya baik, maka kita akan beralih ke fasa normalisasi bermula 1 September 2020.

Tidak dinafikan, kehidupan semasa PKP adalah sangat memberi tekanan ekoran sekatan yang menutup kebebasan kita untuk keluar bekerja, beriadah dan beraktiviti.

Namun, inilah harga yang perlu kita semua bayar dalam usaha memastikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat sejagat.

PKPB & PKPP beri peluang rakyat teruskan kehidupan normal

Bagaimanapun keadaannya, kehidupan wajar dan mesti diteruskan.

Disebabkan itu, kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif memperkenalkan 2 jenis Perintah Kawalan Pergerakan yang sedikit longgar berbanding sebelumnya iaitu PKPB dan PKPP.

Ketika ini, rakyat negara kita dilihat mampu menarik nafas lega kerana sudah kurang sekatan untuk bergerak ke mana-mana.

Kita sudah boleh pulang ke kampung halaman serta bekerja kerana banyak sektor ekonomi yang sudah kembali dibuka.

Sekiranya anda berasa diri dijangkiti Covid-19 ini, batalkan perancangan anda untuk keluar rumah dan segera dapatkan rawatan ya!

Bermula 1 Julai 2020, ada satu aktiviti yang sekian lama kita nantikan akan dibenarkan beroperasi semula iaitu pawagam.

Nanti, jangan seronok dulu. Ada beberapa perkara yang kalian perlu tahu!

Pawagam Malaysia dibuka semula, apa reaksi kita sepatutnya ?

Kerajaan mengumumkan aktiviti pawagam, teater, kolam renang dan acara secara langsung dibenarkan dibuka kembali mulai 1 Julai 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menyatakan sedemikian di samping menekankan kepentingan prosedur operasi standard (SOP).

Antara SOP yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa adalah seperti berikut:

  • Acara dijalankan di dalam dewan tertutup
  • Tempat acara perlu disanitasi dengan kerap
  • Suhu badan perlu diperiksa terlebih dahulu
  • Penggunaan pelitup muka dan pencuci tangan ditekankan
  • Penjarakan sosial adalah dimestikan pada setiap masa
  • Kehadiran peserta tidak boleh lebih 250 orang (tertakluk saiz dewan)

Ekoran berita gembira ini, dua rangkaian pawagam Malaysia yang popular iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas (TGV) tampil membuat kenyataan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas (GSC), Koh Mei Lee, keputusan kerajaan itu memberi kelegaan kepada syarikat dan pihaknya yang masih menanti SOP rasmi supaya dapat membuat persediaan lebih awal.

Ia dipersetujui oleh Ketua Pegawai Eksekutif, TGV Cinemas (TGV) Yeoh Oon Lai, yang menyatakan pihaknya akur dengan jumlah 250 penonton ditetapkan kerajaan biarpun kapasiti premis boleh memuatkan 100 hingga 300 orang.

Adakah sesuai ke panggung wayang semasa pandemik COVID-19?

Selepas mengetahui berita gembira ini, sudah pasti satu Malaysia berasa gembira setelah hampir 4 bulan tidak menonton wayang di pawagam.

Namun, adakah ia waktu yang sesuai untuk serbu panggung wayang?

Tepuk dada tanya selera, jawapannya ada pada diri anda!

Hakikatnya, mungkin tiada masalah untuk kita semua menyertai aktiviti seperti ini kerana SOP yang akan diperkenalkan oleh kerajaan adalah sangat ketat.

Namun wajar untuk kita lebih berwaspada dengan mengamalkan setiap norma baru yang perlu kita biasakan sehingga pandemik ini reda.

Oleh itu, sentiasa menggunakan pelitup muka, pencuci tangan serta cuba pastikan penjarakan sosial sentiasa terjaga agar kalian terselamat dari jangkitan.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]