BN, PAS, GPS dan parti Sabah sokong Muhyiddin demi kestabilan politik
Sokongan itu disuarakan dalam mesyuarat 2 jam di Putrajaya petang tadi.
PETALING JAYA: Pemimpin Barisan Nasional, PAS bersama parti dari Sarawak dan Sabah menyokong Perikatan Nasional yang diketuai Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.
Sokongan itu disuarakan dalam mesyuarat 2 jam di Putrajaya petang tadi yang dihadiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Presiden MCA, Wee Ka Siong, Presiden MIC, S Vigneswaran dan Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin.
Turut hadir Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abang Johari Openg dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Tiong King Sing, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), James Jemut Masing, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Joseph Kurup dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan.
PBB, SUPP, PRS dan PDP membentuk GPS yang memimpin kerajaan Sarawak.
Muhyiddin menerusi catatan di Facebooknya berkata, mesyuarat itu turut dihadiri Mohamed Azmin Ali sebagai ketua whip kerajaan PN.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pertemuan itu diadakan ketika Pakatan Harapan tidak sependapat berhubung calon perdana menteri mereka, jika ia berjaya merampas kembali Putrajaya.