EU buka pintu sempadan kepada 14 negara

Penumpang tiba di Lapangan Terbang Barcelona di Sepanyol pada Selasa. EU meluluskan garis panduan untuk 27 negara anggotanya membuka pintu sempadan kepada 14 negara. (Gambar AP)

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) meluluskan garis panduan yang mengesyorkan negara anggotanya membuka semula pintu sempadan kepada 14 negara, termasuk Korea Selatan.

Majlis Eropah yang mewakili 27 negara anggota menerima pakai syor itu pada Selasa dan akan berkuat kuasa Rabu, lapor agensi berita Yonhap.

Setiap negara anggota akan dimaklumkan perkembangan terkini, termasuk sejauh mana kelonggaran diberikan, bila dan bagaimana ia dilaksanakan, termasuk tempoh kuarantin kendiri. Senarai negara itu akan dikemas kini setiap 2 minggu.

Selain Korea Selatan, turut termasuk dalam senarai itu ialah Algeria, Australia, Georgia, Montenegro, Kanada, Jepun, Maghribi, New Zealand, Rwanda, Serbia, Thailand, Tunisia dan Uruguay.

Amerika Syarikat dikecualikan, manakala China diberi kelulusan sementara kerana EU memutuskan akan membenarkan perjalanan jika Beijing mengambil langkah sama terhadap pelancong EU.

Sejak pertengahan Mac, EU melarang kemasukan pelancong bukan anggota blok itu, namun pengecualian diberikan untuk perjalanan penting.

Sementara itu, seorang pegawai Kementerian Luar Korea Selatan berkata, garis panduan untuk setiap negara mungkin berbeza bergantung kepada situasi Covid-19 di negara masing-masing dan faktor lain.